27 Dec 2010

Rezeki hujung tahun

Sinar Harian

130 murid Orang Asli terima sumbangan beg

GELANG PATAH – Sesi persekolah yang akan bermula 3 Januari tahun depan memberi kecerian buat 130 murid Orang Asli dari Kampung Simpang Arang, di sini, apabila menerima beg dan peralatan sekolah.

Sumbangan berkenaan tajaan Pelabuhan Tanjung Pelepas yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Abdul Aziz Sapian.

Murid ini merupakan penuntut di empat sekolah berdekatan iaitu Sekolah Menengah Gelang Patah, Sekolah Kebangsaan Nusa Perintis Satu, Sekolah Ladang Pendas dan Sekolah Kebangsaan Jenis (Cina) Ming Terk.
 

Abd Aziz memberi beg kepada murid Orang Asli sambil diperhatikan Derick (dua, kiri)

Kesemua penerima diberi beg sekolah, peralatan persekolahan dan sumbangan wang RM80 bagi pembelian kasut dan baju sekolah.

Dalam ucapannya, Abdul Aziz berkata, beliau berharap dengan kelengkapan ini, murid dapat memulakan persekolahan mereka dengan baik.

“Segala keperluan telah dihulurkan, apa yang perlu dipastikan murid ini termasuk ibu bapa mereka ialah mendapat pendidikan yang secukupnya.

“Apabila mereka mengecapi kejayaan di sekolah, secara tidak langsung akan menyumbang dan menjadi tenaga pekerja di Iskandar Malaysia,” katanya pada Program Kembali Ke Sekolah, di sini semalam.

Turut hadir, Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat PTP, MD Derick Basir dan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Johor Bahru, Kamaruddin Sa’ayun.

Program yang masuk tahun keempat penganjurannya itu sejak tahun 2007 itu merupakan pelaksanaan tanggungjawab korporat dan sosial syarikat tersebut.

Selain program tersebut, pelajar ini juga melaksanakan beberapa program lain yang berteraskan ilmu pengetahuan seperti program kesedaran alam sekitar, kelas tuisyen bahasa Inggeris dan ceramah motivasi.