03 Dec 2009

Sepuluh sekolah terpilih sertai program komunikasi

Berita Harian

Gelang Patah: Sebanyak 10 sekolah rendah di sekitar kawasan ini terpilih menyertai program Komunikasi, Pendidikan, Penyertaan dan Kesedaran (CEPA) bertemakan Prihatin Pada Tanah Lembab anjuran Pelabuhan Tangjung Pelepas (PTP) dengan kerjasama Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ), baru-baru ini.

Program berkenaan adalah sebahagian tanggungjawap sosial dan korporat PTP untuk memberi kesedaran kepada murid mengenai kepentingan tapak dan kawasan Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar) selain Taman Negara Johor yang berada di Sungai Pulai.

Murid yang menyertai program itu akan mendapat ilmu disamping berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan antaranya kuiz, sesi soal jawab, pameran serta ikrar murid yang dijadikan sebagai simbolik perjanjian antara murid dan pihak penganjur didalam menjaga kepentingan serta memulihara alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Kapten Ismail Hashim, berkata program berkenaan dijalankan dalam dua fasa di mana pada fasa pertama, sebanyak lima sekolah dengan kira-kira 1,000 murid terbabit dalam menjayakan program yang dijalankan pada pertengahan bulan lalu.

Beliau berkata, fasa kedua program yang mendapat sambutan menggalakkan daripada murid dan sekolah itu pula akan diadakan pada awal bulan depan.



"Program Kemasyarakatan CEPA ini adalah antara usaha PTP memberi bantuan pendidikan serta menyampaikan informasi mengenai kepentingan alam sekitar khususnya kepada murid sekolah rendah di sekitar Gelang Patah.

Selain itu, kami juga menyediakan program motivasi kepada pelajar akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tuisyen bahasa Inggeris untuk murid UPSR, Program Akhbar Dalam Pembelajaran (ADAP) dan bantuan persekolahan khusus untuk masyarakat Orang Asli di Kampung Simpang Arang," katanya di sini , baru-baru ini.

Ismail berkata, tanggungjawab PTP sebagai syarikat korporat yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat sekitar memberi impak besar kepada pembentukan masyarakat di sekitar Gelang Patah merangkumi aspek ekonomi dan sosial.

"Usaha ini tidak akan berakhir di sini malah kami akan sentiasa berusaha untuk membantu kerajaan bagi membangunkan generasi muda di Gelang Patah pada masa kini dan akan datang" katanya.

Pengurus Taman Ramsar PTNJ, Harban Singh, berkata keprihatinan PTP sebagai syarikat korporat di dalam menganjurkan program CEPA-Prihatin Pada Tanah Lembab untuk masyarakat sekitar seharusnya disokong dan menjadi panduan serta ikutan kepada syarikat korporat lain.