01 Oct 2014

SK Nusantara juara liga anjuran PTP

Berita Harian

Nusajaya : Meskipun menduduki tempat kedua dalam kumpulan, ia tidak mematahkan semangat Sekolah Kebangsaan (SK) Nusantara apabila akhirnya muncul juara Liga Bola Sepak 2014 anjuran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), baru-baru ini.

Julung kali menyertai kejohanan luar, sekolah berkenaan berjaya menewaskan SK Morni Pok pada aksi perlawanan akhir dengan jaringan 2-0 dalam penganjuran liga selama dua hari di Stadium Educity, dekat sini.

Kemenangan itu membolehkan pasukan SK Nusantara membawa pulang piala pusingan, pingat dan wang tunai berjumlah RM1,000 selain pemain terbaik turut dinobatkan daripada pasukan berkenaan iaitu Wafiq Masrizan,10, yang menerima wang tunai RM200.

SK Morni Pok membawa pulang pingat dan wang tunai berjumlah RM800, manakala pasukan PTP Junior 1 yang mendapat tempat ketiga, menerima pingat serta wang tunai bernilai RM600.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Korporat PTP, Azharuddin Nordin. Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Johor, Mohd Radzi Mohd Amin.

Liga Bola Sepak 2014 disertai 150 pemain daripada lapan sekolah sekitar kawasan PTP termasuk SK Taman Nusa Perintis 1, SK Tanjung Kupang, SK Pendas Laut, SK Kampung Pulai, SK Kampung Sungai Melayu dan SK Kampung Tanjung Adang.