27 Dec 2010

Suntik semangat belajar

Harian Metr

Anak Orang Asli terima bantuan keperluan sekolah

GELANG PATAH: Kedatangan sesi baru persekolahan tidak lama lagi jelas menceriakan 130 murid Orang Asli dari Kampung Orang Asli Simpang Arang di sini, yang menerima peralatan dan keperluan sekolah sumbangan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Jabatan Hartanah dan Zon Bebas PTP, Md Derick Basir berkata, program ‘Kembali Ke Sekolah’ itu sebahagian tanggungjawab sosial korporat PTP kepada golongan memerlukan.
 

Katanya, program kali keempat itu inisiatif pihaknya dalam membantu menyalurkan sumbangan kepada masyarakat setempat, selain sebagai dorongan dan motivasi kepada murid terbabit untuk berjaya dalam pelajaran.

“PTP sangat berbesar hati memberi sumbangan kepada murid Orang Asli berkenaan bagi membantu meringankan beban keluarga untuk persediaan anak ke sekolah tidak lama lagi,” katanya pada majlis Penyampaian Sumbangan ‘Kembali Ke Sekolah’ di Pusat Tarbiah Islamiah, di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nusajaya, Datuk Abd Aziz Sapian, Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Johor Bahru, Kamaruddin Sa’ayun, wakil Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Daerah Johor Bahru, Hamdan Yassin dan Penghulu Mukim Tanjung Kupang, Faidzullah Yusof.

Penerima, Yasir Buntat, 8, berkata, dia gembira serta berterima kasih dengan PTP yang sudi memberi sumbangan.

“Sekurang-kurangnya ini menjadi pendorong bagi kami yang kebanyakannya daripada keluarga susah untuk meneruskan persekolahan,” katanya.