Suntik Semangat ke menara gading
Sinar Harian
Gelang Patah – Sempena musim cuti persekolahan akhir tahun, pelbagai aktiviti dan kegiatan diadakan bagi mengisi masa terluang tidak kurang juga persediaan menghadapi sesi persekolahan 2015.
Atas inisiatif itu, seramai 40 pelajar dari empat sekolah di Gelang Patah didedahkan peluang pengajian selepas tamat sekolah menengah.
Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah, SMK Tanjung Adang, SMK Kompleks Sultan Abu Bakar dan SMK Nusajaya berpeluang mengikuti lawatan sambil belajar selama tiga hari oleh Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Ketua Pegawai Korporat PTP, Azharuddin Nordin berkata, program tersebut bertujuan memberi peluang kepada pelajar meneroka sekali gus memberi bayangan pendidikan tinggi untuk masa depan mereka.
"Lawatan sambil belajar ini adalah satu inisiatif syarikat itu memberi motivasi kepada pelajar tempatan untuk bercita-cita tinggi dan merancang dengan bijak masa depan mereka.
"Biasanya, pelajar tidak mempunyai apa-apa idea tentang kehidupan university sehingga mereka dapat menyaksikan sendiri. Mudah-mudahan, selepas perjalanan ini dapat menyuntik semangat baru untuk mereka lebih berjaya," Katanya.
Menurutnya, pihak syarikat telah menganjurkan lawatan sambil belajar ke university tempatan untuk tiga tahun berturut-turut dan sehingga hari ini hampir 250 pelajar mendapat peluang ini.
Sementara itu, salah seorang pelajar, Nurul Ammarah Adam, 16, berkata, pengalaman melawat UIAM satu pengalaman berguna buatnya.
"Saya selalu mendengar orang mengatakan tentang kehidupan university, melalui lawatan ini, saya dapat melihat sendiri bagaimana berbeza university dan sekolah.
"Ia satu pengalaman yang menarik buat saya dan rakan-rakan dan berharap untuk menjadi sebahagian pelajar di sini satu hari nanti," katanya.