Syarikat swasta diminta komited bantu masyarakat
Utusan Malaysia
GELANG PATAH 20 Sept. – Syarikat-syarikat swasta di negeri ini diminta terus memberi komitmen membantu kerajaan memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan bagi meringankan beban mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Datuk Aziz Sapian berkata, walaupun kerajaan mempunyai peruntukan tertentu untuk membantu golongan berkenaan, namun sumbangan syarikat swasta dan pihak yang prihatin amat dialu-alukan.
“Saya berharap tanggungjawab sosial syarikat-syarikat swasta ini akan terus diberikan supaya dapat meningkat dan mengubah kehidupan golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan Hari Raya kepada 205 orang fakir miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya dan anak-anak yatim di kawasan Gelang Patah di sini, semalam.
Majlis anjuran bersama UMNO Bahagian Gelang Patah itu ditaja syarikat pemaju UEM Land Berhad, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Iskandar Investment Berhad dan beberapa syarikat lain.
Selain sumbangan makanan, Aziz turut menyampaikan duit raya untuk membolehkan penerima membuat persiapan menyambut 1 Syawal yang akan menjelang tidak lama lagi.
Beliau berkata, majlis seumpama itu telah diadakan sejak empat tahun lalu bagi membantu golongan kurang bernasib baik yang memerlukan di kawasan berkenaan.