Tanjung Pelepas Terminal Kontena Terbaik 2004
Utusan Malaysia
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) merupakan salah satu kebanggaan negeri Johor. Selain menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negara dan juga negeri, kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh pelabuhan baru itu turut berjaya memperkenalkan negeri Johor di peringkat antarabangsa.
Bermula dari kawasan paya bakau dan perkampungan nelayan satu masa dahulu, pelabuhan yang mula dibina ketika krisis kewangan melanda rantau Asia Tenggara pada tahun 1997 berjaya membuktikan yang pembinaannya tidak sia-sia.
PTP yang bakal berusia enam tahun pada penghujung tahun ini, kini menduduki tangga yang ke-16 sebagai pelabuhan utama di dunia. Biarpun masih baru, pelabuhan tersebut telah berjaya memenangi pelbagai anugerah dan yang terbaru ialaha Terminal Kontena Terbaik bagi Tahun 2004 dalam Anugerah Logistik Asia 2004.
Dalam anugerah terbabit, PTP berjaya mengalahkan beberapa pelabuhan utama dunia yang lain seperti Pelabuhan Singapura dan Terminal Antarabangsa Hutchinson Hong Kong.
Lebih membanggakan dalam usia yang begitu muda, PTP sudah menjadi rujukan bagi pelabuhan asing termasuk Filipina, negara-negara Asia Barat, India dan Sri Lanka.
Para pegawai dari pihak berkuasa pelabuhan yang terletak di negara-negara maju seperti pelabuhan Osaka dan Kobe di Jepun turut kagum dengan pencapaian PTP. Kebanyakan mereka bertanya apakah rahsia PTP untuk membangun dengan begitu cepat dalam masa yang singkat.
Antara faktor kejayaan PTP adalah budaya kecermelangan yang diterapkan di kalangan semua pekerjayanya selain tumpuan khusus yang diberikan dari segi latihan dan pembangunan manusia.
Ketua Pegawai Operasi PTP Datuk Mohd. Sidik Shaik Osman dan pengurus-pengurus kanan PTP yang lain juga turut mendapat jemputan menghadiri kursus dan seminar-seminar mengenai pengurusan pelabuhan di luar negara bagi berkongsi pengalaman dengan negara-negara sedang membangun.
Pembangunan pesat PTP dapat dilihat daripada jumlah kontena yang dikendalikannya sejak mula beroperasi pada tahun 1999 sehingga tahun lalu.
Pada tahun 2000, PTP mengendalikan sejumlah 418,000 kontena dan ia meningkat kepada 4.02 juta kontena tahun lalu.
Dalam usia yang begitu muda juga, PTP telah berjaya menarik banyak syarikat antarabangsa untuk memilihnya sebagai pusat operasi. Antaranya ialah BMW yang membina pusat pengedaran alat ganti serantau di PTP dan dua gergasi perkapalan iaitu Evergreen Marine Corporation dan Maersk Sealand.
Selain jumlah kontena yang makin meningkat setiap tahun, satu lagi kelebihan PTP ialah mempunyai dermaga yang mempunyai kedalaman 18 meter dan boleh memuatkan kapal yang besar.
Pembangunan pesat PTP juga memberikan kesan positif kepada taraf hidup dan pembangunan bidang sumber manusai negeri Johor.
Antara peranan yang dimainkan oleh PTP dalam menjana ekonomi negeri Johor ialah membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar dan menjadi pemangkin kepada kawasan penempatan baru di kawasan dan daerah berhampiran dengan pelabuhan. PTP mempunyai lebih 4,000 warga kerja yang berkhidmat di sektor profesional dan tidak profesional dan lebih 60 peratus daripada mereka adalah anak Johor.
Pelabuhan tersebut juga menjadi pemangkin kepada pembangunan kawasan perdagangan bebas di sekitar pelabuhan dan kawasan penempatan yang teratur bagi kakitangan PTP.
Para nelayan yang dulunya mendiami Kampung Tanjung Peelpas yang merupakan tapak bagi bangunan pentadbiran PTP serta kawasan pelabuhan turut dipindahkan ke kawasan penempatan yang lebih sempurna iaitu Desa Paya Mengkuang.
Kehadiran syarikat asing yang membuka pusat pengedaran dan operasi mereka di kawasan PTP juga turut membantu menjana ekonomi negeri Johor terutamanya dari segi pelaburan asing.
Antara syarikat yang sudah membina pusat operasi di kawasan perdagangan bebas Tanjung Pelepas ialah Tiong Nam, MIEL Logistics, USRA Distripark dan syarikat usaha sama Malaysia-Amerika Syarikat JB Cocoa.
Selain pembinaan fasa kedua, PTP juga sedang dalam proses untuk mewujudkan sebuah hub pengedaran makanan halal seluas 40 ekar di Kawasan Perdagangan Bebas Tanjung Pelepas (TPFZ).
Rakyat Johor seharusnya berdoa supaya PTP dapat terus mengekalkan kecemerlangannya dalam mengharumkan nama negara dan negeri Johor khususnya.