Teroka Menara Gading
Harian Metro

Seramai 40 pelajar dari empat sekolah menengah di Gelang Patah di sini, mengikuti program lawatan tiga hari ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) anjuran Pelabuhan Tanjung Pelepas di sini, baru-baru ini.
Sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah, SMK Tanjung Adang, SMK Kompleks Sultan Abu Bakar dan SMK Nusa Jaya.
Sepanjang berada di UKM, pelajar dibawa ke pelbagai fakulti seperti Fakulti Sains dan Teknologi, fakulti Undang-Undang dan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran.
Pelajar berkenaan juga terbabit dalam aktiviti motivasi dan reksreasi bersama Persatuan Mahasiswa Anak Johor UKM (PERMAJ).
Selain itu, pelajar turut melawat pelbagai tempat menarik di Kuala Lumpur seperti Menara KLCC, Muzium Islam serta Taman Burung dan Rama rama.
Ketua pegawai eksekutif PTP Glen Hilton berkata, penganjuran program buat tahun keempat berturut-turut memberi peluang kepada pelajar untuk menerokai menara gading yang ada di seluruh Negara.
“PTP berpendapat, tanggungjawab kita bukan saja kepada pekerja, pelanggan dan pelabur, tetapi turut membabitkan pelbagai komuniti yang berada di sekitar lokasi syarikat beroperasi.
“Lawatan sambil belajar adalah satu daripada inisiatif syarikat untuk memupuk pengetahuan dan minat mereka supaya boleh merancang masa depan lebih baik.”katanya.
Pelajar SMK Kompleks Sultan Abu Bakar, Siti Aishah Binti Zakaria berkta, usaha PTP disambut baik dalam membuka peluang kepadanya melihat senario sebenar alam kampus.
“Saya bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada peserta bagi program tahun ini. Ia pasti membantu saya merancang masa depan,”katanya.