Tijarah Ramadan PTP dekati masyarakat
Utusan Malaysia

Johor Bahru - Kedatangan Ramadan yang kini memasuki minggu ketiga terus disambut meriah dengan pelbagai syarikat mengadakan program khususnya memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) juga tidak ketinggalan untuk meraikan kira-kira 100 penduduk dan pelajar di sekitar Gelang Patang yang kurang bernasib baik menerusi program Tijarah Ramadan 2014.
Ketua Pegawai Korporatnya, Azharuddin Nordin berkata, Tijarah Ramadan merupakan aktiviti tahunan pihaknya yang bertujuan untuk merai dan memberi sedikit bantuan kepada golongan memerlukan, terutamanya ketika musim perayaan.
"Ini juga merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat terhadap masyarakat yang memerlukan terutamanya mereka yang berada di Gelang Patah.
"Selain itu, Tijarah Ramadan ini juga bagi mengeratkan hubungan antara pihak syarikat dengan masyarakat setempat," katanya di sini baru-baru ini.
Selain berbuka puasa bersama penduduk kampung, PTP turut menyampaikan sumbangan duit raya dan barangan keperluan asas kepada penerima.
Azharuddin berkata, selain Tijarah Ramadan, pihaknya juga merangka pelbagai program CSR melibatkan beberapa golongan sasar, terutamanya masyarakat yang tinggal di Gelang Patah.
"Antara program yang telah kita anjurkan adalah kelas tambahan Bahasa Inggeris, kem motivasi untuk murid-murid yang akan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta gotong-royong," katanya.