Tubuh rendah markah tinggi
Harian Metro
Pelatih polis bantuan pernah gagal temu duga muncul pelajar cemerlang
SEGAMAT: " Saya pernah gagal temu duga ketika memohon jawatan sebagai polis bantuan beberapa tahun lalu kerana tidak cukup tinggi, bagaimanapun, hari ini (semalam) saya bangga selepas dipilih sebagai pelatih terbaik, " kata Konstabel Noraini Sa'at, 28, berasal dari Batu Pahat, semalam.
Noraini dipilih sebagai pelatih terbaik akademik pada Kursus Asas Polis Bantuan Siri 42012 selepas dua bulan menjalani latihan di Pusat Latihan Polis Batu Anam di sini.
Dia salah seorang daripada 433 pelatih polis bantuan dari seluruh negara yang mengikuti kursus berkenaan.
"Saya bertugas di Pelabuhan Tanjung Pelepas dan seorang daripada 16 polis bantuan yang dihantar majikan untuk mengikuti kursus ini.
"Saya akan gunakan segala yang dipelajari sepanjang kursus untuk dimanfaatkan ketika bertugas," katanya.
Noraini yang bersyukur kerana terpilih menerima anugerah berkenaan berkata,sokongan ibu bapa, Satun Saripin,64 serta Sa'at Ali, 60, juga mendorongnya untuk lebih bersungguh-sungguh sepanjang kursus.
Pengurus Kanan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Baharudin Othman,52, berkata operasi pelabuhan itu yang meliputi kawasan seluas 1,500 hektar dan pengendalian ribuan kontena setiap hari memerlukan kakitangan kawalan keselamatan yang cekap dan terlatih.
"Kami mempunyai 200 polis bantuan yang bertugas 24 jam sehari. Kami bangga dengan pencapaian 16 kakitangan yang dihantar untuk mengikuti kursus ini.
"Daripada jumlah itu, 14 adalah lelaki, manakala dua lagi wanita. Sebagai penghargaan, ada di kalangan mereka akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat selepas mula bertugas," katanya.
"Sementara itu, Komandan Pusat Latihan Polis Batu Anam, Deputi Superintenden Muhammad Nor Abidin Jusoh berkata,25 agensi dari seluruh Negara seperti Felda Security dan Agensi Antidadah Kebangsaan ( AADK ) menghantar anggota keselamatan berkursus di pusat latihan itu.
Sijil tamat latihan disampaikan Komandan Pusat Latihan Polis Langkawi,Asisten Komisioner Arif Omar dan majlis turut dihadiri Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud.