Dua dermaga baru atasi kesesakan PTP
Berita Harian
PELABUHAN Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) akan mempunyai dua lagi dermaga yang mampu mengendalikan sehingga sejuta unit bersamaan 20 kaki (TEU) kontena, yang akan mula beroperasi awal 2004.
Ketua Eksekutif PTP, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman, berkata dua dermaga tambahan itu akan membantu pelabuhan itu mengatasi masalah kesesakan kemasukan kapal di enam dermaga sedia adanya.
Bercakap dalam satu pertemuan di Johor Bahru, beliau berkata, pembinaan dua dermaga tambahan itu dibuat sebagai sebahagian program pembangunan fasa kedua PTP.
Keseluruhan projek itu membabitkan pembinaan lapan dermaga baru, tetapi kami hanya akan membina dua terlebih dulu, bagi memenuhi permintaan agak mendesak.
Tahun lalu, jumlah TEU kontena yang dikendalikan oleh PTP bertambah lebih 30 peratus dan tahun ini ia dijangka meningkat pada kadar yang sama, katanya.
Mohd Sidik berkata, pembinaan dua dermaga tambahan itu juga dibuat kerana keperluan yang semakin mendesak berikutan persinggahan lebih banyak kapal ke PTP.
Katanya, perkara itu memaksa PTP melaksanakan pembinaan dua daripada lapan dermaga dalam fasa kedua program pengembangannya secepat mungkin.
Menurut rancangan awal, program pengembangan fasa kedua operasi PTP akan membabitkan pembinaan sejumlah lapan dermaga baru dengan kos hampir RM3 bilion.
PTP yang memulakan operasi pada 1 Januari 2003, kini beroperasi dengan enam dermaga dan mensasarkan pengendalian lebih 3.5 juta TEU kontena menjelang akhir tahun ini.
Enam dermaga yang kini beroperasi di PTP mempunyai panjang keseluruhan berjumlah 2.16 kilometer dan berupaya mengendalikan sejumlah 4.5 juta TEU setahun.
Dengan lebar kawasan berdepan dermaga seluas 600 meter dengan kedalaman 15 meter, ia membolehkan PTP mengendalikan kapal kontena generasi baru dengan mudah.
Mohd Sidik berkata, PTP turut mempunyai kemudahan 24 kren Super Post Panamax dengan kapasiti 60 tan dan jangkauan 53 meter. Ia turut dilengkapi kren bertayar getah (RTG).
Beliau mengakui, dengan enam dermaga sedia ada, PTP tidak mampu memenuhi permintaan, sekali gus mendorongnya membina segera dua dermaga tambahan itu.
Enam dermaga sedia ada hanya mampu menampung kontena tetapi pada hujung minggu, ia penuh sesak. Jika ini berterusan, sukar untuk PTP mendapat pelanggan baru, katanya.
Mohd Sidik berkata, mengikut perancangan awal, PTP hanya perlu menambah dermaganya pada 2004 tetapi perkembangan pesatnya menyebabkan proses itu terpaksa dipercepatkan, katanya.
Beliau berkata, perkembangan yang lebih pantas daripada jangkaan itu menyebabkan PTP lebih mudah mempromosikan perkhidmatannya kepada syarikat perkapalan.
Seperti syarikat kereta, jika tak pernah dengar nama kereta itu, orang tak yakin tetapi selepas ramai yang berkata ia bagus, tentu lebih mudah untuk dijual, katanya.
Mengenai usaha menarik pelanggan baru, Mohd Sidik berkata, ia dilakukan secara berterusan oleh PTP dan ia tidak semestinya dihebohkan kepada umum kerana faktor persaingan.
Hasil kerja keras PTP dalam aspek, ia sudah berjaya menarik Maersk Sealand (Maersk) dan Evergreen Marine Corp (Evergreen) manakala yang lain adalah pelanggan kecil.
Mungkin timbul soalan kenapa kita ada dua pelanggan saja. Kita kena ingat, jumlah kontena yang mereka bawa besar iaitu masing-masing lebih dua juta dan lebih sejuta TEU.
Oleh sebab jumlah kontena yang dibawa besar, kita tak boleh mendapat pelanggan baru setiap bulan kerana ia mungkin sukar dikendalikan. Yang penting, kena stabil dulu.
Selepas produktiviti stabil dan memenuhi keperluan, baru rancang langkah seterusnya. Kepuasan pelanggan harus diutamakan demi menjamin nama baik PTP, katanya.