Firma Singapura pilih Tanjung Pelepas
Berita Harian Online
PSA Corp, pengendali pelabuhan kontena Singapura, iaitu antara pelabuhan utama dunia, dikatakan menerima tamparan apabila syarikat perkapalan antarabangsa Singapura, Kumpulan NOL memilih Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor untuk melancarkan perkhidmatan terbarunya.
Meskipun, NOL berkata, keputusan untuk menggunakan PTP, iaitu pelabuhan terbaru Malaysia di barat daya Johor, adalah keputusan ‘komersil’ ia tetap menimbulkan persoalan di Singapura sama ada langkah itu bertentangan dengan kepentingan nasional republik itu.
Kalangan peserta industri di Singapura itu dilaporkan sebagai mempersoalkan langkah NOL yang dikatakan mungkin mencetus penghijrahan syarikat perkapalan lain yang beroperasi di PSA ke PTP.
Akhbar Business Times Singapura melaporkan kelmarin bahawa ada ‘desas-desus’ pasaran yang mengatakan langkah ‘memeranjatkan’ NOL itu mungkin berpunca daripada hakikat bahawa pengurusan NOL diketuai bangsa asing.
Ketua Eksekutif, NOL Flemming Jacobs, yang merupakan rakyat Denmark, mempertahankan langkah NOL dengan menyatakan bahawa tanggung jawab pengurusan adalah untuk sentiasa meningkatkan nilai pegangan saham.
Cabang pengangkutan kontena NOL, APL, baru-baru ini menandatangani perjanjian untuk menempatkan perkhidmatan mingguannya West Asia Express (WAX) di PTP.
Selain NOL, syarikat perkapalan utama Jepun, Mitsui OSK Lines dan Maersk-Sealand turut membuat panggilan tetap ke PTP. Hubline, pengendali kapal agihan juga sudah membuat panggilan tetap ke pelabuhan di Johor itu.
Walaupun PTP masih dianggap baru dalam industri perkapalan tetapi sejak memulakan operasinya Oktober tahun lalu ia sudah mengendalikan lebih 60,000 TEU kontena.
Sumber industri perkapalan tempatan berkata, pelabuhan itu dilihat begitu komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik berikutan peningkatan penggunaan oleh syarikat kapal utama.
“Kemunculan PTP bukan dianggap satu persaingan tetapi lebih berunsur pilihan atau alternatif kepada syarikat perkapalan untuk mencari pelabuhan yang dapat memenuhi keperluan dan menawarkan kemudahan yang lebih fleksibel.
“PTP dilihat sedang berusaha menarik lebih ramai pengendali kapal agihan dan syarikat perkapalan dunia,” katanya ketika dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur, semalam.
Sumber itu berkata, antara kelebihan yang ditawarkan di PTP ialah kos pengendalian kargo kira-kira 30 peratus lebih rendah, kemudahan infrastruktur yang lengkap dengan teknologi maklumat terkini dan pembangunan pesat di kawasan sekitar pelabuhan khususnya di Gelang Patah, Johor.
Katanya, kawasan sekitar PTP mempunyai potensi besar untuk berkembang termasuk pertumbuhan kawasan industri, logistik sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini khususnya di Johor.
PTP juga dijangka akan membuka dua lagi dermaganya pada September ini sebagai tambahan kepada dermaga yang sedia ada dan apabila siap sepenuhnya, PTP akan mempunyai enam dermaga yang lengkap dengan kemudahan kren.
PTP yang membabitkan kos RM2.4 bilion, terletak hanya beberapa kilometer dari Singapura dan dibuka secara rasmi pada Mac tahun ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkannya sebagai pemangkin bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia terutama di selatan Johor.
Fasa 1 projek itu dengan dua dermaga berukuran sepanjang 2.16 meter itu memulakan operasinya pada Oktober tahun lalu.