LPJ Mohon Peruntukan Perluas Laluan Pelayaran Kapal
Sinar Harian
JOHOR BAHRU – Menjelang pengumuman Bajet 2016 pada Jumaat ini, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) berharap mendapat peruntukan bagi kerja meluas dan mendalamkan laluan pelayaran kapal di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), disini.
Pengurus besarnya, Muhammad Razif Ahmad berkata, kerja-kerja tersebut dianggarkan melibatkan kos RM2 bilion yang juga termasuk dalam pelan pembangunan PTP 2016-2018.
“Menerusi pelan pemgembangan fasa 3A, PTP merancang membina tiga dermaga sepanjang 1.5 kilometer membabitkan kos RM5 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang”.
“Ia termasuk kerja mendalamkan dan memperluaskan laluan pelayaran kapal dan kita mengalu-alukan suntikan dana kerajaan bagi merealisasikan perkara ini”.
“Kita sasar tiga dermaga ini mula beroperasi akhir 2018,” katanya selepas perasmian Minggu Pelabuhan 2015 di Persada, semalam”.
Muhammad Razif berkata, penambahan dermaga tersebut yang kini mempunyai 14 dermaga mampu meningkatkan keupayaan pengendalian kontenanya daripada 10.5 juta kepada 15 juta TEU menjelang 2019.
Katanya, pengembangan pelabuhan ini sentiasa dibincangkan LPJ dan PTP dalam usaha meningkatkan operasinya yang kini memasuki 15 tahun, yang boleh disifatkan kemajuannya belum matang.
“PTP kini beroperasi menerusi fasa kedua dengan mempunyai 14 dermaga dilengkapi kren termoden sepanjang lima kilometer”.
“PTP masih mempunyai ruang memcukupi bagi mengembangkan kapasitinya”.
“Pada masa ini, selain kapal Maersk Line, kapal kontena terbesar dunia, MSC Oscar juga pernah beberapa kali memasuki PTP dengan mengendalikan 19,000 TEU” katanya.
Katanya, LPJ menyediakan pelbagai perancangan strategik bagi pengembangan PTP sehingga tahun 2045 yang mensasarkan pengendalian kontena mencecah 75 juta TEU sehingga tempoh berkenaan.