01 Apr 2021

Melawan rasa gayat

Harian Metro View Source


Bekerja pada ketinggian lebih 18 meter ketika mengendalikan jentera e RTG untuk mengangkat kontena di pelabuhan bukan tugas yang mudah bagi wanita.

Bekerja pada ketinggian lebih 60 kaki (18.0 meter) ketika mengendalikan jentera Electrified Rubber Tyre Gantry (e RTG) untuk mengangkat kontena di pelabuhan bukan tugas yang mudah bagi wanita.

Namun demi minat dan kemahuan, semua itu tidak menjadi halangan buat Nurul Farhana Madani, 35.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia menyertai Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) kira-kira empat tahun lalu dan bermula sebagai pemandu lori kontena (Prime Mover).

Katanya, selepas dua tahun dia diberi peluang kenaikan pangkat ke jawatan kerani operasi (QCC) sebelum ke jawatan sekarang pada Disember tahun lalu.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak pengurusan kerana terpilih dalam program 'Fast Track'.


JENTERA e RTG yang mengangkat kontena di pelabuhan.

"Program itu membolehkan pekerja wanita di sini melalui proses pembelajaran dengan lebih cepat untuk meramaikan lagi pembabitan wanita dalam bidang operasi," katanya.

Nurul Farhana bukan calang-calang wanita kerana dia adalah antara tujuh pengendali e RTG wanita daripada 662 pengendali e RTG di pelabuhan itu.

Anak jati Muar, Johor itu berkata, sebelum menyertai PTP, dia melakukan pelbagai pekerjaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk bertugas sebagai guru agama selama hampir enam tahun di negeri berkenaan.

"Apabila saya memaklumkan kepada ibu bapa untuk bekerja di pelabuhan ini, mereka terkejut pada mulanya memandangkan saya adalah satu-satunya anak perempuan.


IBU dan ayah yang sentiasa menyokong Nurul Farhana.

"Bekerja di pelabuhan bagi mereka adalah hanya untuk lelaki dan jarang wanita bekerja dalam bidang operasi.

"Namun selepas melihat kesungguhan saya, mereka memberi keizinan dan berpesan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri," katanya.

Menurut Nurul Farhana, dia menyertai industri pelabuhan itu tanpa sebarang pengalaman membawa jentera berat atau besar namun dia berjaya memahirkan diri dengan latihan yang diberikan pihak syarikat.

Meskipun berdepan banyak cabaran dan perlu bekerja sendirian, tetapi dia seronok mengendalikan kren e RTG.

Kata Nurul Farhana, pada awal dahulu dia berdepan persepsi daripada rakan sekerja lelaki yang meragui keupayaan wanita, namun selepas membuktikan kemampuannya, semua tiada masalah.

Menurutnya, dia juga berdepan perasaan gayat kerana pekerjaan itu memerlukannya berada di tempat tinggi selama lapan jam sehari.

"Namun, alah bisa tegal biasa, saya mengamalkan petua senior supaya melihat ke tempat yang lebih tinggi dan alhamdulillah, masalah ini sudah berjaya diatasi.

"Jika bekerja pada syif malam pula, kami perlu sentiasa lebih berhati-hati kerana jarak penglihatan adalah terhad dan pada masa sama perlu mengatasi rasa mengantuk.

"Kami juga perlu berdepan faktor cuaca yang ada ketikanya menghalang kelancaran kerja dan sentiasa cergas kerana perlu memanjat tangga yang tinggi untuk ke stesen ditetapkan.

"Selain pengendali e RTG, kelancaran proses pemunggahan kontena juga membabitkan banyak pihak antaranya operator kren dermaga, pegawai dermaga, kerani operasi (QCC) dan pemandu Prime Mover," katanya yang sentiasa mengutamakan penjagaan keselamatan sepanjang berada di tempat kerja.

Meskipun tidak menikmati cuti pada hari minggu seperti pekerjaan lain, namun Nurul Farhana mengakui dia tetap seronok dengan kerjayanya.

Katanya, jadual dan waktu kerjanya bergantung kepada syif yang ditetapkan penyelianya.

"Syif kami adalah bermula dari 7 pagi hingga 4 petang, 4 petang hingga 12 tengah malam dan 12 tengah malam hingga 8 pagi, ia berubah dari semasa ke semasa.

"Jika tidak bekerja, saya biasanya banyak menghabiskan masa di rumah dan gimnasium namun apabila mendapat cuti panjang, kampung halaman menjadi destinasi utama," katanya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Nurul Farhana menyarankan wanita khususnya golongan muda supaya memberanikan diri untuk menceburi bidang yang selama ini dikuasai lelaki.

Ini kerana setiap kerjaya sudah tentu ada cabaran masing-masing dan semuanya terpulang kepada wanita sama ada mahu atau tidak untuk menyahut cabaran itu.

"Macam saya sendiri, tidak pernah terfikir untuk berada pada tahap ini, tetapi demi mencabar diri, semua halangan itu saya berusaha untuk atasi.

"Apapun saya gembira kerana majikan amat prihatin dan sentiasa menggalakan dan memberikan kami (pekerja wanita) peluang untuk duduk sama rendah serta berdiri sama tinggi dengan lelaki," katanya.