08 Jul 2004

Pelabuhan Tanjung Pelepas Catat Rekod Separuh Tahun Pertama Dengan 2.01

Bernama

JOHOR BAHARU, 8 Julai (Bernama) -- Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) telah mencatatkan rekod kendalian tertinggi bagi separuh tahun pertama dengan mengendalikan lebih 2.01 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) untuk tempoh separuh tahun pertama tahun ini.
 
Ini merupakan peningkatan 25 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas apabila ia mengendalikan 1.60 juta TEU.
 
Volum muatan pindah kapal untuk tempoh separuh pertama tahun 2004 berjumlah 1.83 juta TEU, naik 24.6 peratus berbanding 1.47 juta TEU yang dikendalikan dalam tempoh yang sama tahun 2003, kata PTP dalam satu kenyataan Khamis.
 
Volum kargo tempatan mencatatkan pertumbuhan kukuh 22 peratus, naik daripada 63,526 TEU yang dikendalikan dalam separuh pertama tahun lepas untuk mencecah 77,576 TEU dalam dalam enam bulan pertama tahun ini.
 
"Fenomena pertumbuhan di PTP itu adalah hasil perubahan berterusan ekonomi global yang kukuh serta tambahan beberapa perkhidmatan baru persinggahan di pelabuhan itu, kata PTP.
 
Ia menyatakan bahawa dalam separuh pertama 2004, kapal-kapal yang singgah di PTP meningkat 5.3 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas, yang berjumlah 1,584 berbanding 1,504 dalam 2003.
 
"Peningkatkan itu bersamaan tambahan persinggahan tiga buah kapal seminggu," katanya.
 
Dengan volum kargo yang meningkat di laluan perdagangan utama, khususnya, Asia Eropah, PTP telah mencatatkan pertumbuhan kukuh di segi volum bagi mengekalkan kedudukan utamanya sebagai pelabuhan muatan pindah kapal.
 
Dengan siapnya dua jeti tambahan dalam pertengahan bulan Julai ini, ia juga menyatakan akan juga meningkatkan kapasiti pelabuhan itu dari 4.5 juta kepada 6.0 juta TEU setahun.
 
"Penghantar melalui kapal terus menunjukkan keyakinan masing-masing terhadap PTP, dan pertumbuhan volum kargo domestik yang dikendalikan oleh pelabuhan itu menunjukkan kepercayaan yang diberikan kepada PTP oleh komuniti tempatan," katanya.
 
PTP, pelabuhan Asia Tenggara yang paling pantas berkembang terletak di Barat Daya Johor, menawarkan enam buah jeti sepanjang 360m setiap satu yang mempunyai jumlah keseluruhan sepanjang 2.16km dan mempunyai yad kontena terbesar di rantau ini dengan kapasiti penyimpanan 110,000 TEU.