14 Mar 2000

Pelabuhan Tanjung Pelepas zon bebas cukai

Utusan Malaysia Online

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang dirasmikan hari ini mendapat status zon bebas cukai bagi merangsang pelabuhan itu memainkan peranan meningkatkan lagi perdagangan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad berkata, dengan status itu bermakna PTP adalah bebas daripada cukai dan duti kastam serta beberapa duti lain.

''Dengan status ini, pekilang tempatan tidak seharusnya bergantung lagi kepada pelabuhan asing untuk urusan import dan eksport, malahan kerajaan sedia menimbangkan semua masalah berkaitan ini bagi tujuan meningkatkan sektor pelabuhan negara,'' kata beliau.

Dr. Mahathir berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pelabuhan Tanjung Pelepas di Gelang Patah di sini, hari ini.

Tegas beliau, pekilang-pekilang tempatan juga tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak menggunakan pelabuhan PTP kerana kerajaan telah membelanjakan sejumlah lebih RM100 juta untuk menyediakan jalan raya dan lebih RM600 juta bagi pembinaan rel kereta api.

''Dengan kemudahan prasarana itu, pelabuhan ini akan menjadi rangkaian sistem perhubungan dan pengangkutan yang terbaik,'' kata Dr. Mahathir.

Beliau juga berkata, PTP merupakan antara projek infrastruktur terbesar negara, yang jelas membuktikan kemampuan Malaysia membina pelabuhan bertaraf antarabangsa dengan teknologi futuristik.

Kata beliau, kini terbukti walaupun pelabuhan ini dibangunkan dalam situasi ekonomi yang agak sukar, ia masih dapat dilaksanakan dengan jayanya.

''Malahan pelabuhan ini dapat disiapkan tiga bulan lebih awal dari jadual asal. Saya juga difahamkan bahawa keseluruhan pembangunan fasa pertama pelabuhan ini akan disiapkan enam hingga tujuh bulan lebih awal,'' kata beliau.

Perdana Menteri berkata, pada peringkat awal hanya dermaga sepanjang 700 meter dirancang dibina, tetapi memikirkan keperluan masa akan datang, kerajaan memutuskan untuk membina pelabuhan yang lebih besar.

''Fasa pertama pelabuhan ini sahaja merangkumi enam dermaga dengan keseluruhan panjangnya ialah 2.16 kilometer,'' katanya.

Bagi keperluan fasa seterusnya, ia akan dibina secara berperingkat-peringkat mengikut perkembangan pengendalian kontena.

Pelabuhan ini yang dibina dengan harga lebih RM2.4 ribu juta telah disediakan dengan pelbagai kemudahan bertaraf dunia yang dapat menarik syarikat perkapalan terkemuka antarabangsa.

Apabila siap sepenuhnya, pelabuhan ini mampu mengendalikan sejumlah 3.8 juta TEUs setahun dan kelebaran kawasan berhadapan dermaga seluas 600 meter dengan kedalaman air melebihi 15 meter membolehkan PTP mengendalikan kapal kontena generasi terbaru.

PTP juga dilengkapi dengan peralatan pelabuhan moden dan mempunyai 18 kren pelabuhan jenis super post panamax yang mempunyai kapasiti mengangkat 40 tan dan jangkauan sehingga 53 meter.

''Pelabuhan ini dilengkapi 58 unit Rubber Tyred Gantry Crane (RTG) dan operasi pelabuhan termasuk sistem pintu masuk (gate system) yang akan digerakkan sepenuhnya oleh sistem teknologi maklumat,'' kata Dr. Mahathir.

Memandang PTP berada pada lokasi yang strategik dan di pertengahan laluan utama perkapalan, maka ia merupakan aset utama yang dapat menarik syarikat perkapalan menggunakan pelabuhan ini, jelas beliau.

Perdana Menteri juga berkata, PTP akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, khususnya kawasan selatan Johor dan hasil daripada perkembangan pesat itu, pelabuhan ini akan turut menggerakkan aktiviti lain yang berkaitan seperti pergudangan dan perkilangan.

Justeru kata Dr. Mahathir, bagi merealisasikan impian itu, kerajaan mahu melihat kecanggihan struktur PTP seiring dengan kepakaran tenaga kerjanya, maka adalah perlu pekerja PTP dilatih dengan baik supaya hasrat ini berhasil.

'Saya menyarankan supaya petugas PTP serta agensi kerajaan berkaitan dapat memberi perkidmatan terbaik dan menentukan standard perkhidmatan yang tinggi,' jelas beliau.

Perdana Menteri juga telah menyaksikan operasi pelabuhan di dermaga dengan diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi PTP, Datuk Taufik Abdullah.