02 Nov 2005

Pembinaan Kampus Flextronics di PTP berjalan lancar

Berita Harian

Kerja pembinaan Kampus Perindustrian Flextronics yang membabitkan kos RM400 juta di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Johor, berjalan lancar dan dijangka siap seperti dijadualkan.

Kampus di kawasan seluas 1.3 juta kaki persegi itu akan menempatkan pusat pengeluaran dan logistik untuk Flextronics International Ltd dan pembekalnya.

“Kerja pembinaan berjalan lancar dan kami berharap projek ini akan siap menjelang suku pertama tahun depan,” kata jurucakap PTP.

Kemudahan baru itu yang dibina dalam lingkungan Zon Perdagangan Bebas Pelepas pelabuhan berkenaan dijangka beroperasi mulai April 2006.

“Dengan kemudahan di sini, ia dijangka mampu meningkatkan persinggahan syarikat perkapalan bebas di PTP,” katanya.

Flextronics, antara syarikat penyedia terkemuka sektor pembuatan elektronik di Singapura, mempunyai tapak kukuh di Johor dan Melaka sejak 10 tahun lalu.

Syarikat itu memeterai perjanjian dengan PTP pada 12 Julai untuk mewujudkan kemudahan itu.

Flextronics, yang menguasai portfolio meluas meliputi 30 negara, memilih Zon Perdagangan Bebas Pelepas kerana status di situ menyediakan persekitaran perniagaan bebas cukai, disokong prasarana infrastruktur logistik hebat, kos operasi berdaya saing dan pakej insentif cukai menarik.

Pembangunan kampus Flextronics di pelabuhan muatan pindah kapal utama negara itu menandakan satu lagi pencapaian PTP.

Dua bulan lalu, PTP memperoleh projek dengan JST Manufacturing Co of Japan untuk membangunkan kemudahan berkeluasan satu juta kaki persegi dengan penyewanya dijangka memasuki premis berkenaan menjelang Ogos 2006.

JST, menerusi anak syarikat Malaysia JST Connectors (M) Sdn. Bhd., akan membangunkan kemudahan bersepadu pengeluaran, kejuruteraan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), latihan dan jualan di Fasa A Zon Perdagangan Bebas Pelepas.

Kilang itu akan dibangunkan dengan kos permulaan AS$100 juta (RM377 juta) yang kemudian akan ditambah kepada AS$200 juta (RM754 juta) dalam 10 tahun.

Kilang baru itu akan membentuk sebahagian matlamat jangka panjang JST dalam usaha menjadikannya peneraju global industri elektronik.

Syarikat lain yang sudah berpindah ke pelabuhan itu termasuklah pengeluar kereta mewah BMW, Jerman, yang mengusahakan kilang alat ganti untuk Asia dan syarikat logistik Schenker.