Pembukaan PTP jejaskan Singapura
Utusan Malaysia
Pembukaan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Patah, Johor secara rasmi pada tahun lalu menyebabkan jirannya, Pelabuhan Singapura mengalami kemerosotan prestasi sehingga 15 peratus.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman ketika mendedahkan perkara itu berkata, prestasi memberangsangkan yang ditunjukkan oleh PTP turut membuka mata republik itu mengenai kemampuan sebenar pelabuhan baru itu.
“Meskinpun PTP baru setahun beroperasi, namun kerajaan Johor kini terpaksa menambah enam buah lagi dermaga baru di PTP menjadikan kesemuanya berjumlah 12 buah dermaga bagi menampung kepesatan operasi pelabuhan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Gabungan Profesional Melayu Muda Johor di Hotel Mutiara di sini, malam semalam.
Abdul Ghani berkata, walaupun sebelum ini, ada pihak-pihak tertentu yang meragui kemampuan PTP sehingga ada yang meramalkan PTP akan mengalami nasib buruk sebagaimana Pelabuhan Pasir Gudang, tetapi keadaan yang berlaku pula adalah sebaliknya.
“Malah buktinya dapat dilihat apabila PTP berjaya mengendalikan sejuta TEU kontena pada 5 Mei lalu iaitu selepas mula beroperasi pada 10 Oktober 1999 dan dijangka mencapai dua juta TEU menjelang November ini,” katanya.
Selain itu, PTP juga menjadi pilihan kepada kapal-kapal dari pelabuhan kecil seperti Tanjung Periuk, Indonesia dan Hanoi, Vietnam bagi mengeksport kargo mereka ke pelabuhan utama lain di dunia.
Katanya, antara punca kejayaan itu ialah kemampuan perkhidmatan yang disediakan oleh PTP setanding dengan pelabuhan utama dunia selain faktor lokasinya yang strategik dan keluasan tapak pelabuhan yang boleh diperbesarkan.
PTP yang terletak di kawasan barat daya Johor dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pada 13 Mac tahun lalu dan dianggap oleh sesetangah pihak sebagai pelabuhan alaf baru di rantau ini.