14 Mar 2000

PTP jadi pintu masuk utama

Berita Harian

Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini merasmikan pembukaan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, dengan meletakkan sasaran ia menjadi antara pintu masuk utama perdagangan di rantau ini.

Perdana Menteri percaya, pelabuhan berharga RM2.4 bilion itu mampu menarik minat syarikat perkapalan berikutan lokasi strategiknya di pertengahan laluan utama perkapalan di Asia Tenggara.

“Sudah tentu ia mengambil masa yang panjang, tetapi kita mahu ia menjadi pintu masuk utama. Saya rasa dalam tempoh lima tahun ini anda boleh lihat sama ada ia menuju ke arah itu atau tidak,” katanya selepas merasmikan pelabuhan itu dan diikuti merasmikan seminar serta pameran PTP 2000.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; anggota exco negeri; beberapa menteri dan timbalan menteri serta Pengerusi PTP, Datuk Mohd Taufik Abdullah.

Dr Mahathir yang menghabiskan masa kira-kira sejam meninjau keadaan di pelabuhan itu puas hati dengan pembinaannya kerana PTP mampu menyediakan kemudahan diperlukan lebih awal daripada dijadualkan.

“Kita selalu berusaha untuk menyiapkan kerja lebih cepat dari masa ditetapkan dan berkualiti. Kelihatannya PTP dapat melakukannya dan ia mempunyai kualiti yang diperlukan oleh pelabuhan kita,” katanya.

PTP yang memulakan operasi percubaan Oktober tahun lalu mempunyai pelbagai kemudahan bertaraf dunia bertujuan menarik syarikat perkapalan terkemuka.

Fasa pertama pembinaan pelabuhan itu dijangka siap sepenuhnya pertengahan 2001. Ia merangkumi enam dermaga yang keseluruhannya sepanjang 2.16 kilometer dan berupaya mengendalikan 3.8 juta TEUs setahun.

Kelebaran kawasan berhadapan dengan dermaga seluas 600 meter dengan kedalaman air 15 meter, sekali gus membolehkan pelabuhan berkenaan mengendali kapal kontena generasi baru dengan mudah tanpa masalah.

Pelabuhan itu turut mempunyai kemudahan termasuk 18 kren pelabuhan jenis ‘Super post panamax’ yang mempunyai kapasiti mengangkat 40 tan dan jangkauan sehingga 53 meter.

PTP turut dilengkapi 58 unit kren ‘Rubber Tyred Gantry’ (RTG). Sehingga kini lebih 140 buah kapal termasuk Skagen Maersk kapal terbesar di dunia sudah memanfaat kemudahan di pelabuhan itu.

Kemudahan lain yang di sedang dalam pembinaan ialah ibu pejabat dan bangunan pentadbiran yang akan menempatkan agensi berkaitan pelabuhan serta kakitangan PTP yang dijangka akan mula berpindah akhir bulan ini.

Terdahulu dalam ucapannya di perasmian PTP, Dr Mahathir meminta pekilang menggunakan sepenuhnya kemudahan disediakan itu sekali gus tidak seharusnya bergantung lagi kepada pelabuhan asing untuk urusan import eksport.

Beliau berkata, kerajaan akan terus berusaha meningkat dan menggalakkan pembangunan PTP kerana menyedari pelabuhan berkenaan memainkan peranan penting ke arah meningkatkan ekonomi negara.

Malah, katanya, jika dilihat di negara maju, sektor pelabuhan menyumbang peratusan besar kepada pendapatan negara, lantas kerajaan memberi galakan dan insentif tertentu untuk menaikkan lagi sektor terbabit.

“Bagi PTP sendiri, kita memberikan status zon bebas. Dengan itu, urusan dalam kawasan pelabuhan adalah bebas daripada cukai dan duti kastam serta beberapa duti lain.

“Kita berharap menerusi insentif seumpama itu, PTP dapat memainkan peranan penting untuk meningkatkan lagi perdagangan negara. Selaras dengan itu, kita mengharapkan pekilang tempatan menggunakan kemudahan di PTP.

“Sewajarnya, dengan adanya PTP, pekilang tempatan tidak lagi akan kepada pelabuhan asing untuk urusan import/eksport. Kita sedia menimbang semua masalah berkaitan bagi tujuan meningkatkan sektor pelabuhan negara,” katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaan komited dalam menentukan kejayaan PTP apabila membelanjakan lebih RM100 juta untuk menyediakan jalan raya dan lebih RM600 juta bagi pembinaan rel keretapi yang kini sedang dilaksanakan.

Menurutnya, kemudahan prasarana itu membolehkan satu sistem rangkaian perhubungan dan pengangkutan terbaik disediakan sekali gus pekilang tempatan tiada lagi alasan untuk tidak menggunakan perkhidmatan PTP.

Berdasarkan komitmen itu, Perdana Menteri percaya, PTP bakal menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara khususnya bagi kawasan selatan Johor.

“Saya difahamkan PTP juga mempunyai tanah seluas hampir 1,000 ekar (450 hektar) untuk dibangunkan pelbagai industri berkaitan. Sebahagiannya akan dibangun dengan kegiatan komersil seperti pergudangan, pusat pengedaran dan kegiatan tambah nilai.

“Kegiatan ini mampu meningkatkan kegiatan pelabuhan dan pada masa yang sama dapat menggalakkan pembangunan setempat,” katanya.