PTP kekal pelabuhan nombor satu Negara
Berita Harian
PELABUHAN Tanjung Pelepas (PTP) di Johor mengekalkan kedudukannya sebagai pelabuhan nombor satu negara dengan mengendalikan 5.6 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) tahun lalu.
Ketua Eksekutifnya, Kapten Ismail Hashim, berkata di sebalik kelembapan ekonomi dunia, PTP masih berjaya mengembangkan jumlah kendalian ‘tempatannya’ kira-kira 43 peratus, naik 94,000 TEU daripada 218,000 TEU yang dicatatkan pada 2007.
Beliau mengaitkan pertumbuhan kendalian kargo tempatan pelabuhan itu kepada perkhidmatan perkapalan yang meningkat yang boleh didapati di PTP bagi import dan eksport hasil daripada syarikat perkapalan yang singgah berlabuh di pelabuhan itu.
Ismail berkata, ini termasuk perkhidmatan baru antara PTP dengan Australia, New Zealand dan Filipina yang diperkenalkan oleh MISC Bhd, apabila mereka memindahkan habnya dari Singapura ke PTP tahun lalu.
Di samping perkhidmatan baru di PTP yang diwujudkan oleh pemindahan hab MISC, 2008 turut menyaksikan perkhidmatan baru yang diperkenalkan di PTP yang menghubungkan Eropah dan Timur Jauh melalui syarikat perkapalan Jerman, Hapag Llyod.
“Beberapa bentuk aturan syarikat perkapalan seperti perkhidmatan bersama dan aturan pertukaran ruang antara syarikat perkapalan berlainan yang singgah di PTP memungkinkan bagi pemilik kargo tempatan untuk memindahkan lebih banyak melalui PTP pada 2008,” katanya.
Katanya perkhidmatan yang dipercayai disediakan PTP sepanjang beberapa tahun juga meningkatkan tahap keyakinan pelanggan sedia ada seperti Maersk dan Evergreen untuk memperkenalkan lebih banyak persinggahan perkhidmatan di PTP.
“Evergreen tahun lalu memperkenalkan satu Perkhidmatan baru Vietnam yang menghubungkan Ho Chi Minh City di Vietnam dengan PTP, manakala Maersk memperkenalkan perkhidmatan baru menghubungkan Asia dengan AS melalui perjanjian perkongsian kapal mereka dengan syarikat perkapalan Perancis CMA CGM,” katanya