PTP kekal terminal kontena utama
Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 12 Jan. – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) terus mencatatkan pertumbuhan pada 2009 dan mengekalkan kedudukannya sebagai terminal kontena utama Malaysia.
Pengerusinya, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman berkata, pelabuhan itu menutup tirai 2009 dengan pengendalian kontena sebanyak enam juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) iaitu 7.5 peratus lebih tinggi daripada 2008.
Pertumbuhan ini dicapai ketika syarikat perkapalan dan pelabuhan mengalami kejatuhan dua digit dalam jumlah dagangan berikutan kemelesetan ekonomi dunia.
Pertambahan pengendalian juga dicapai dengan kos keseluruhan yang lebih rendah berikutan tekanan pada kadar pada waktu itu.
“Kita bernasib baik kerana menjadi salah satu daripada hanya sebilangan kecil pelabuhan yang mencatatkan peningkatan pada jumlah kontena pada 2009.
“PTP berjaya mengembangkan pelabuhan ini atas beberapa sebab. Ketika pelanggan sedia ada menyumbang dengan perkhidmatan baharu, jumlah baharu yang dibawa oleh syarikat perkapalan CMA-CGM juga menambahkan angka itu,” kata Sidik dalam kenyataannya di sini hari ini.
Beliau menambah, terdapat sembilan peratus peningkatan pada jumlah tempatan dari kawasan perindustrian Johor dengan lebih banyak penghantar muatan kini menggunakan PTP untuk keperluan import dan eksport mereka.
Beliau berkata, pelabuhan itu mengendalikan 20 peratus kargo kawasan perindustrian Johor tahun lepas.
“Selain Evergreen dan Maersk Line, kami ada CMA-CGM, MISC dan lain-lain syarikat perkapalan yang menyediakan perkhidmatan terus kepada banyak destinasi global,” katanya.
Mengenai anjuran PTP bagi 2010, Sidik meramalkan tahun yang mencabar, sungguhpun terdapat petunjuk pemulihan ekonomi.
“Kami menjangkakan kos operasi yang lebih rendah untuk syarikat perkapalan sebagai bidang fokus utama”, kata Sidik, sambil menambah bahawa pelabuhan itu melihat perkara ini sebagai satu peluang memandangkan syarikat perkapalan akan mencari alternative yang lebih efisien dan berkesan kos.
“PTP mempunyai banyak untuk ditawarkan kepada pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu. Keberkesanan kos, perkhidmatan bertaraf antarabangsa dan kapasiti tanpa had membolehkan pelanggan mendapat keberkesanan yang akan meningkatkan keuntungan mereka,” katanya.