PTP kini pesaing menggugat
Berita Harian
PELABUHAN Tanjung Pelepas (PTP) di Gelang Petah, dekat Johor Bahru, terus berdiri gagah sebagai pelabuhan bertaraf dunia, walaupun pada awal operasinya tiga tahun lalu, ia dikatakan hanya pelengkap kepada perkhidmatan disediakan pelabuhan terkemuka sedia ada baik di Malaysia mahupun Singapura
Sebagai pemain underdog dalam industri yang mengalami pertumbuhan pesat, pada peringkat awal operasi, PTP sudah menunjukkan taring apabila jumlah kontena dikendalikannya mengalami peningkatan ketara dalam tempoh singkat.
Strateginya menarik penyertaan syarikat perkapalan dunia menerusi konsep rakan niaga strategik ternyata membuahkan hasil apabila beberapa syarikat membuat keputusan memindahkan operasi dari Singapura ke PTP.
Maersk Sealand, konglomerat perkapalan terbesar dunia dari Denmark yang diberi laluan memiliki 30 peratus ekuiti dalam PTP, sudah memindahkan kira-kira dua juta TEU (Unit bersamaan 20 kaki) ke PTP dari Singapura selepas pengambilalihan kepentingan itu pada 2000.
Selain itu, Evergreen Marine Corporation dari Taiwan turut mengikuti jejak konglomerat berkenaan apabila membuat keputusan serupa memindahkan operasi ke PTP.
Berikutan keputusan yang dianggap agak mengejutkan itu, beberapa syarikat perkapalan lain tidak memandangnya sebagai sesuatu perkara biasa dan hanya duduk berdiam diri.
Sebaliknya, keputusan konglomerat perkapalan dunia itu dilihat sebagai satu perkembangan yang perlu diteliti terutama dari segi peluang mendapatkan perkhidmatan bermutu dengan kos tidak terlalu membebankan.
Selain itu, ia dilihat sebagai peluang meluaskan perniagaan dan mencari rakan niaga baru, mencari tapak perniagaan bagi memperkukuhkan kedudukan dalam industri yang semakin mencabar dan peluang untuk terus berdaya saing.
Bukan setakat syarikat perkapalan, malah syarikat gergasi yang terbabit dalam industri logisitik, pengeluaran, pengedaran dan syarikat penyedia perkhidmatan, turut mengambil peluang menempatkan operasi di PTP.
Apabila ini terjadi, PTP bukan lagi dipandang bertaraf underdog atau hanya sebagai pelengkap, tetapi pemain yang perlu diawasi kerana dikatakan ‘mengancam’ kedudukan pemain yang sudah bertapak lama di rantau ini.
Lantaran tidak mahu kecundang di tangan pemain baru, pelbagai inisiatif dilakukan termasuk strategi yang dianggap sesetengah pihak sebagai ‘permainan kotor’. Pelbagai insentif dikatakan ditawarkan kepada syarikat yang bercadang memindahkan operasi ke PTP supaya mereka membatalkan hasrat itu.
Selain itu, pemain lama dalam industri berkenaan tidak berdiam diri apabila menemui terus peneraju syarikat konglomerat yang berura-ura memindahkan operasi ke PTP. Tujuannya untuk meyakinkan syarikat berkenaan mengenai insentif baru yang ditawarkan itu.
Sumber industri memberitahu, tindakan itu memberi kesan kepada PTP yang beliau yakin sudah mengatur strategi bagi menangani perkara itu untuk terus berdaya saing.
"Kita akui apa yang dilakukan itu memberi kesan kepada PTP. Tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh terus bersaing," katanya sambil menegaskan industri pelabuhan terus berdepan suasana mencabar disebabkan suasana ekonomi tidak menentu berikutan peperangan di Iraq.
Namun, semua cabaran itu tidak pernah mematahkan semangat PTP untuk terus berusaha keras menarik seberapa banyak syarikat untuk menggunakan perkhidmatan yang disediakan.
Yang terbaru, BMW AG dari Jerman kini dikatakan di peringkat akhir perbincangan untuk memindahkan operasi pengedaran serantaunya ke PTP di kawasan seluas antara empat hingga enam hektar.
Sebelum itu, satu lagi syarikat Jerman, Schenker AG sudah menempatkan pusat pengedarannya di kawasan seluas 4,650 meter persegi di kawasan Zon Perdagangan Bebas di PTP.
Dua syarikat ini menyertai banyak lagi syarikat yang terbabit dalam pelbagai kegiatan seperti perkhidmatan, pengeluaran dan pergudangan untuk menempatkan operasi di PTP.
Ini satu perkembangan positif yang pasti memberi tamparan hebat kepada pihak mengatur strategi `kotor' menyekat perpindahan syarikat ke pelabuhan baru `setahun jagung' berjinak-jinak dalam industri.
Yang pasti, PTP bangkit bukan kerana nasib, tetapi ia sememangnya sebuah pelabuhan bertaraf dunia berada di lokasi strategik di tengah-tengah laluan utama kapal di Asia Tenggara dengan kemampuan menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.
Sesuai kemampuannya itu, amat wajar PTP yang dibangunkan dengan kos RM2.4 bilion bagi fasa pertama, menerima pengiktirafan seperti Anugerah Pelabuhan Baru Terbaik dari Lloyd's List Maritime Asia untuk dua tahun berturut-turut pada 2000 dan 2001.
Sijil penghargaan untuk Kempen Perhubungan Awam dari Institut Perhubungan Awam Malaysia pada Januari 2001 dan Projek Terbaik Kategori Sektor Awam dari Fiabce Malaysia pada Jun 2001.
Gagasan untuk muncul sebagai pelabuhan bertaraf dunia, bukan sebagai pemain underdog atau pelengkap kepada perkhidmatan pelabuhan serantau, tetapi sebagai pesaing yang mampu menggugat.
Ini dapat dilihat daripada kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, ketika merasmikan PTP pada 13 Mac 2001.
"Pelabuhan berharga RM2.4 bilion ini mampu menarik minat syarikat perkapalan berikutan lokasi strategiknya di pertengahan laluan utama perkapalan di Asia Tenggara.
"Sudah tentu ia mengambil masa panjang, tetapi kita mahu ia menjadi pintu masuk utama. Saya rasa dalam tempoh lima tahun ini, anda boleh lihat sama ada ia menuju ke arah itu atau tidak," kata Dr Mahathir.
Selepas tiga tahun operasi, kita sudah boleh melihat arah kecemerlangan yang sedang digapai PTP untuk muncul sebagai pelabuhan bertaraf dunia.
PTP yang memulakan operasi percubaan Oktober 2000 mempunyai pelbagai kemudahan bertaraf antarabangsa bertujuan menarik syarikat perkapalan terkemuka.
Fasa pertama pembinaan pelabuhan itu siap sepenuhnya pertengahan 2001 merangkumi enam dermaga yang keseluruhannya sepanjang 2.16 kilometer dan berupaya mengendalikan 4.5 juta TEUs setahun (satu TEU bersamaan 20 kaki persegi).
Kelebaran kawasan berhadapan dermaga seluas 600 meter dengan kedalaman air 15 meter, sekali gus membolehkan pelabuhan itu mengendali kapal kontena generasi baru dengan mudah tanpa masalah.
Pelabuhan itu turut mempunyai kemudahan termasuk 24 kren pelabuhan jenis `Super Post Panamax' yang mempunyai kapasiti mengangkat sehingga 60 tan metrik dan jangkauan sehingga 53 meter.
SISTEM pemunggahan kontena di PTP dilaksana dengan cekap dalam tempoh singkat.
PTP turut dilengkapi 72 unit kren `Rubber Tyred Gantry' (RTG). Sehingga kini beratus-ratus kapal sudah memanfaat kemudahan itu di pelabuhan terbabit, termasuk terbaru, kapal kontena paling besar di dunia, Axel Maersk, yang pertama kali berlabuh di PTP Gelang Patah, pada 6 petang 27 Mac lalu.
Kapal sepanjang 352 meter dan 43 meter lebar mempunyai kapasiti muatan 6,600 TEUs.
"Kehadiran kapal kontena paling besar di dunia ini adalah detik bersejarah bagi PTP. Ia sekali gus membuktikan pengiktirafan kepada pelabuhan ini untuk mengendalikan kapal besar pada masa depan," kata Ketua Eksekutif PTP, Mohd Sidik Shaik Othman.
Selepas PTP, Axel meneruskan perjalanan ke Hong Kong, Shanghai dan beberapa pelabuhan di China yang menjadi laluan tetapnya, tanpa singgah di Pelabuhan Singapura.
Kapten Axel Maersk, Jyrn Holger Pederson, yang ditanya mengenai kemudahan di PTP berkata, beliau puas hati dengan prasarana dan mutu perkhidmatan disediakan di situ.
Kemudahan lain di PTP ialah ibu pejabat dan bangunan pentadbiran yang menempatkan agensi berkaitan pelabuhan serta kakitangan PTP.
PTP kini memasuki fasa kedua yang sedang giat dalam pembinaan membabitkan kos lebih RM2 bilion.
Kerajaan juga komited dalam menentukan kejayaan PTP apabila pelbagai inisiatif diambil bagi mengurangkan kerenah birokrasi ketika pemeriksaan kastam dan imigresen di pelabuhan.
Malah, peruntukan yang besar turut disediakan untuk membina jalan raya dan rel kereta api. Kerajaan membelanjakan lebih RM100 juta menyediakan jalan raya dan lebih RM600 juta bagi pembinaan rel kereta api yang sudah siap sepenuhnya.
Kemudahan prasarana itu membolehkan satu sistem rangkaian perhubungan dan pengangkutan terbaik disediakan sekali gus pekilang tempatan tiada lagi alasan untuk tidak menggunakan perkhidmatan PTP.
PTP juga mempunyai tanah seluas kira-kira 1,400 hektar yang sebahagian besarnya sudah dibangunkan dengan pelbagai industri berkaitan termasuk kegiatan komersial seperti pergudangan, pusat pengedaran dan kegiatan tambah nilai.