PTP mahu tarik lebih banyak pelabur asing
Berita Harian

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn Bhd, anak syarikat MMC Corporation Bhd menyasar untuk menarik lebih banyak peluang pelaburan asing pada masa depan meskipun berdepan dengan persekitaran ekonomi mencabar. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Glen Hilton, berkata pelbagai strategi jangka panjang sedang dan akan dijalankan bagi memastikan pertumbuhan syarikat terus kekal positif. Katanya, menerusi perkhidmatan di zon perdagangan bebas yang dikendalikan PTP antara usaha untuk menarik lebih banyak peluang pelaburan asing. “Kawasan berkenaan yang berkeluasan 607.03 hektar kini dalam proses pembangunan secara berperingkat yang mana 242.8 hektar daripadanya sudah dibangunkan.
Mulakan syarikat baharu
“Memang terdapat permintaan bagi zon perdagangan bebas dan usaha akan dipergiatkan menerusi penempatan semula perniagaan atau memulakan syarikat baharu. “Kami masih dalam perbincangan dengan beberapa syarikat bagi membangunkan kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media sempena lawatan media ke PTP, Gelang Patah, Johor, baru-baru ini. Dalam perkembangan lain, Hilton berkata, PTP juga memperuntukkan perbelanjaan modal berjumlah RM500 juta pada tahun depan bagi pembelian peralatan baharu dan mengubah suai kemudahan di pelabuhan berkenaan yang kini sudah 15 tahun beroperasi.
“Perbelanjaan itu termasuk bagi pembelian kepala lori, kren gantri beroda getah (RTG), dan kren utama, selari dengan peningkatan industri pindah kapal. “Selain itu, kami juga bercadang untuk meningkatkan unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pelabuhan itu kepada 15 juta TEU pada tahun 2018 daripada 8.3 juta TEU pada november tahun ini. “Pada tahun lalu, PTP berupaya mecatatkan TEU 8.5 juta dan dijangka mampu mencapai sasaran 9.2 juta pada akhir tahun ini,” katanya.
Beli Peralatan Baharu
Bagi perbelanjaan modal tahun ini pula, Hilton berkata, sejumlah RM300 juta diperuntukkan bagi membeli peralatan dan kemudahan baharu termasuk 26 kren RTG selain 174 kren RTG sedia ada. PTP disenaraikan sebagai pelabuhan ke-18 terbaik dunia dan menjadi pesaing utama kepada Port of Singapore Authority yang ketika ini berada di kedudukan kedua dalam ranking berkenaan.