14 Jun 2009

PTP Menongkah Arus

www.bernama.com

Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Ketika kebanyakan pelabuhan di rantau ini menjangkakan penurunan kuantiti jumlah barangan yang dikendalikan tahun ini, terminal kontena utama Malaysia, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di Johor, menjangkakan yang sebaliknya.

PTP ketika ini berada di kedudukan antara 20 terminal kontena paling sibuk di dunia.

Meskipun ekonomi global yang suram sekarang, PTP yang berjaya memeterai perjanjian dengan French liner CMA CGM (CMA) baru-baru, menjangka mengendalikan 6.1 juta TEU (20 kaki unit setara) tahun ini, meningkat sembilan peratus daripada 5.6 juta TEU pada 2008.

Di bawah terma perjanjian itu, PTP akan menyediakan perkhidmatan terminal kontena kepada CMA untuk mengendalikan beberapa kargo pindah kapal serantaunya.

Malahan, sebelum permeterian perjanjian itu, kapal CMA telahpun mula singgah di PTP susulan kerjasama "Perjanjian Perkongsian Kapal" (VSA) antaranya dengan syarikat kapal Denmark, Maersk Line.

Semasa ditanya oleh BERNAMA mengenai kejayaan PTP menarik CMA daripada Westport di Pelabuhan Klang, Pengerusi PTP Datuk Mohd Sidik Shaik Osman berkata: "Atas alasan-alasan strategik, CMA memutuskan untuk mempunyai dua hab di rantau ini, yang bermakna ia akan menggunakan kedua-dua Westport dan PTP."

Buat masa sekarang, beliau menjelaskan, perkhidmatan bersama di bawah VSA CMA dengan Maersk akan menyumbang kepada kira-kira setengah juta TEU daripada jumlah barangan yang dikendalikan tahunan.

"Sudah tentunya kami menjangka menyaksikan peningkatan kuantiti daripada perkhidmatan ini apabila ekonomi pulih dan perdagangan dunia meningkat semula.

"Kami mempunyai kapasiti terminal yang mencukupi dan kelengkapan untuk mengendalikan kapal CMA di sini, di PTP, sekarang dan di masa depan. Dengan kapasiti pengendalian terminal kami ketika ini pada lapan juta TEU, dan rancangan untuk meningkatkan jumlah ini kepada 12 juta TEU dalam tempoh lima tahun akan datang, bukan sahaja kami boleh menampung kuantiti baharu CMA tetapi juga syarikat perkapalan lain," katanya.

Apabila ditanya pandangan mengenai langkah PTP itu, seorang penganalisis perkapalan berkata perjanjian untuk menyediakan perkhidmatan terminal kontena kepada CMA itu tepat pada masa dan di landasan yang betul bagi PTP.

Sementara itu seorang penganalisis lain berkata: "Untuk menyokong operasi pindah kapal di PTP, perantara serantau CMA kini perlu singgah di pelabuhan itu. "Ini dilihat sebagai perkembangan positif bagi rangkaian perantara PTP. Pengendali yang kini dijangka singgah di PTP akan meningkatkan lagi rangkaian pengendali perantara sedia adanya."

Sidik menjelaskan kehadiran CMA di PTP bukan sahaja akan menambah baik rangkaian hubungannya ke pelabuhan lain di rantau Asia Tenggara tetapi juga pelabuhan-pelabuhan utama di seluruh dunia.

Oleh kerana PTP merupakan pintu masuk bagi pengurus perkapalan Iskandar Malaysia, Sidik berkata rangkaian hubungan global yang bertambah baik juga akan meningkatkan daya tarikan koridor itu sebagai destinasi pelaburan.

"Pengurus perkapalan tempatan, terutamanya yang berpangkalan di Johor, kini mempunyai peluang baharu dan lebih banyak pilihan untuk menghantar kargo mereka menerusi pelabuhan itu," katanya.