PTP Peruntuk RM5 Bilion Bina Tambahan 3 Dermaga
Berita Harian
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) memperuntukkan kira- kira RM5 bilion bagi membina 3 lagi dermaga sepanjang 1.5 kilometer dalam tempoh 3 tahun akan dating bagi meningkatkan keupayaan pengendaliannya kontenanya.
Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Muhammad Razif Ahmad, berkata rancangan itu adalah tambahan daripada 14 dermaga sedia ada, sekali gus meningkatkan sasaran keupayaan pengendalian kontenanya kepada 15 juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) menjelang 2019.
Beliau berkata, peningkatan itu bakal terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pelabuhan kontena paling sibuk di Malaysia yang mana ketika ini ia mempunyai kapasiti pengendalian kontena sebanyak 10.5 juta.
Katanya, satu daripada tiga dermaga berkenaan dijangkakan mula beroperasi akhir 2018 dan pembinaannya projek itu merangkumi kerja mendalam dan memperluaskan laluan pelayaran kapal.
Usaha pertingkat operasi
“Pengembangan pelabuhan ini sentiasa dibincangkan LPJ dan PTP dalan usaha meningkatkan PTP dalam usaha meningkatkan operasinya yang kini memasuki 15 tahun, yang boleh disifatkan kemajuannya belum matang. PTP kini beroperasi menerusi fasa kedua dengan mempunyai 14 dermaga dilengkapi kren termoden sepanjang lima kilometer.
“Bagaimanapun, PTP kini akan memasuki fasa ketiga (3A) pembangunan bermula tahun depan dan apabila siap ketiga tiga dermaga berkenaan ia bakal meningkatkan kapasiti sehingga 15 juta TEU menjelang 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas perasmian Minggu Pelabuhan 2015 yang disempurnakan oleh pengerusi LPJ, Datuk Abdul Ramli di Johor Bahru, semalam.
Perancangan strategik
Muhammad Razif berkata, LPJ menyediakan pelbagai perancangan strategik bagi pengembangan PTP sehingga 2045 yang mensasarkan pengendalian kontena mencecah75 juta TEU sehingga tempoh berkenaan.
“PTP masih mempunyai ruang mencukupi bagi mengembangkan kapasitinya. Pada masa ini, selain kapal Maersk Line, kapal kontena terbesar dunia, MSC Oscar juga pernah beberapa kali memasuki PTP dengan mengendalikan 19,000 TUE,” katanya sambil menambahkan PTP menyasarkan mencapai 9.2 juta TUE tahun ini.
Muhammad Razif berkata, kedudukan PTP dalam kawasan pembangunan Iskandar Malaysia dan pengiktirafan badan antarabangsa bakal meletakkan pelabuhan bertaraf dunia itu di peringkat lebih tinggi dalam industry logistik negara.