PTP Peruntuk RM500 Juta Bagi Perbelanjaan Modal 2016
Bernama
http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1196067
Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Sdn Bhd, unit MMC Corporation Bhd memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM500 juta bagi 2016 untuk membeli peralatan baharu dan mengubah suai kemudahan di pelabuhan yang telah berusia 15 tahun itu.
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Glen Hilton berkata, bagi tahun depan, perbelanjaan modal akan digunakan untuk membeli kepala lori, kren gantri beroda getah (RTG), dan kren utama.
"Kami mahu meningkatkan unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) pelabuhan itu kepada 15 juta TEU pada 2018 daripada 8.3 juta TEU pada November tahun ini.
"Ini sejajar dengan peningkatan industri pindah kapal, terutamanya di Asia Tenggara. Peralatan ini dijangka dihantar kepada kami dalam suku ketiga tahun depan," katanya kepada pemberita semasa lawatan media ke PTP hari ini.
Beliau berkata kekerapan pelayaran antara Asia seminggu melebihi 45 kali, diikuti Afrika (13 kali) dan Eropah atau Mediterranean (11 kali).
Semasa ditanya tentang impak turun naik ringgit ke atas pembelian peralatan baharu, Hilton berkata pertukaran asing yang tidak menentu ketika ini memberi kesan kepada syarikat kerana pembelian kren baharu diurus niaga dalam dolar AS.
Dianggarkan kos bagi setiap kren ialah US$10 juta.
Tahun ini, PTP membelanjakan RM300 juta untuk membeli peralatan dan kemudahan baharu termasuk 26 kren RTG selain 174 kren RTG sedia ada.
Sementara itu, mengenai zon perdagangan bebas PTP seluas 607.03 hektar, Hilton berkata pelabuhan itu sedang menimbang membeli tanah baharu atau menggunakan simpanan tanah MMC untuk mengembangkan perniagaannya.
"Sudah pastinya ada permintaan bagi zon perdagangan bebas dan ini akan dipergiatkan menerusi penempatan semula perniagaan atau memulakan syarikat baharu," katanya sambil menambah pelabuhan itu sedang berbincang dengan beberapa syarikat untuk membina dan membangunkan tanah tersebut.
Terdapat 40 syarikat pembuatan dan logistik beroperasi di kawasang itu dengan jumlah pelaburan RM2.6 bilion.
Pada 2014, pelabuhan itu mencatatkan TEU 8.5 juta dan dijangka mencapai 9.2 juta pada akhir tahun ini.
Kerjasama pelabuhan itu dengan dua syarikat perkapalan antarabangsa, Maersk-Line dan Mediterranean Shipping Company menyumbang lebih daripada 50 peratus kepada keseluruhan kuantiti TEU.
Maersk-Line ialah syarikat sekutu APM Terminals, yang sebaliknya memegang 30 peratus pegangan dalam PTP.
PTP, yang disenaraikan sebagai pelabuhan ke-18 terbaik dunia, merupakan pesaing utama kepada Port of Singapore Authority yang ketika ini berada di kedudukan kedua dalam rangking tersebut.