PTP saingan sengit buat Singapura
Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR Ogos 21 - Ternyata sekali wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat laluan perkapalan di rantau ini, menjadi satu ancaman kepada pemimpin Singapura.
Perdana Menteri Singapura, Goh Chok Tong, dalam ucapan yang penuh emosi pada perhimpunan hari Kemerdekaan pada 18 Ogos, telah mengkritik dan menuduh Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) mencuri perniagaan daripada Singapura.
Betul, PTP harus meminta maaf kerana ia merupakan kesalahan PTP yang mempunyai kemahiran yang lebih baik, lebih cekap, kos yang kompetitif dan lokasi yang lebih strategik dan hanya dalam masa tiga tahun, telah berubah menjadi pusat pengangkutan terkemuka di Asia Tenggara, kata ahli ekonomi Malaysia terkemuka sebagai maklum balas kepada komen Goh.
Ahli ekonomi itu yang tidak ingin dikenali, berkata ekonomi Singapura masih suram sejak krisis kewangan Asia, dan Lembaga Pelabuhan Singapura (PSA) yang telah lama beroperasi, hilang kelebihan persaingan kepada PTP, sehingga tidak memeranjatkan Goh terpaksa menghentam pelabuhan di Malaysia.
Tambahan pula, syarikat perkapalan nombor satu dan dua dunia iaitu Maersk Sealand, Denmark dan Evergreen Marine Corporation, Taiwan telah berpindah daripada Singapura kepada PTP bukan kerana hanya ditawarkan dengan tawaran yang lebih baik, kata beliau.
Goh dan bekas pengerusi PSA Yeo Ning Hong telah mengumumkan skim insentif bernilai S$300 juta (RM652 juta) untuk membantu pelabuhan Singapura bersaing dengan PTP.
PSA antara lain turut menghapuskan bayaran pengendalian bagi kontena kosong sebanyak 50 peratus dan menawarkan 10 peratus rebet ke atas semua yuran pelabuhan dan terminal kargo, malangnya, ia gagal menghentikan syarikat perkapalan daripada berpindah keluar dari Singapura.
Sebenarnya, kos yang kompetitif bukan hanya faktor yang menyebabkan syarikat perkapalan ini berpindah keluar dari Singapura.
Paling ironik, kebanyakan syarikat perkapalan di Klang dan Singapura sependapat bayaran yang dikenakan oleh PTP adalah mahal walaupun PTP merangka perbezaan harga dengan produktiviti yang lebih tinggi.
Strategi PTP untuk meningkatkan kemudahan dan peralatannya, dan pelan jangka panjang bagi pelabuhan adalah penting dalam membuat keputusan sebegitu. Jika PTP boleh mendapatkan insentif yang sama seperti yang diterima oleh PSA daripada Kerajaan Malaysia, anda boleh menjangka bahawa ia akan berkembang lebih pantas lagi, kata beliau.
Pakar ekonomi telah menunjukkan fakta bahawa Industri maritim dan logistik di Singapura menyumbang 8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan memberikan pekerjaan kepada 90,000 orang penduduknya. Pelabuhan PSA sahaja menyumbangkan satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pekerjaan kepada 7,000 orang.
Ini meningkatkan lagi kebimbangan Singapura terhadap PTP, terutamanya dengan PTP memasuki Fasa Kedua dalam program pengembangannya yang akan meningkatkan lagi `ancaman' pelabuhan itu kepada operasi pelabuhan Singapura.
Dalam fasa ini, dua tempat berlabuh akan ditambah daripada enam yang sedia ada untuk terus mengendalikan kegiatan yang semakin meningkat yang dijangka mencapai lima juta TEU (unit bersamaan 20 kaki) pada tahun ini.
Pada tahun 2000, operasi kontena PTP telah mengendalikan hampir 418,218 TEU. Pada tahun 2001, jumlah ini telah meningkat secara mendadak kepada 2.050,000 TEU apabila Maersk memindahkan segala fungsi pusat daripada PSA kepada PTP.
Dengan kemasukan berterusan, 80 peratus kargonya yang dikendalikan di Singapura akan berpindah pada akhir bulan Ogos tahun ini. Ini dijangka akan meningkatkan kegiatan kepada 2.5 juta TEU tahun ini.
Tetapi pelabuhan ini tidak bergantung kepada kejayaan itu. Dengan peningkatan pendapatan mereka, PTP telah melabur berjuta-juta ringgit untuk membeli peralatan pengendalian kargo yang lebih moden menyebabkan ia menjadi saingan utama kepada PSA.
Sudah semestinya PTP telah menjadikan persaingan lebih sengit, berbanding hanya PSA yang menguasai industri itu kini berubah kepada persaingan di antara dua pelabuhan, kata wakil daripada salah sebuah perkhidmatan penghantaran terbesar di Malaysia yang menggunakan PTP.
Pada tahun ini, PTP telah menerima lima kren gantri bertayar getah (RTG), menambah kepada 52 RTG yang beroperasi di pelabuhannya.
Pada akhir tahun ini, PTP akan membeli 15 unit RTG, yang akan menjadikan jumlah kren bagi fasa 1 PTP dalam program perkembangan yang beroperasi berjumlah 72 unit.
Beserta pembelian RTG ini juga, dengan perancangan yang teliti dan pengurusan rangkaian pembekalan PTP yang mengubahkan fokus daripada hanya menghantar barang kepada meningkatkan kerjasama dengan syarikat perkapalan, telah mendatangkan keuntungan.
Kini, jika PTP menjadi pelabuhan yang digemari, bukanlah kerana ia mencuri perniagaan dari Singapura seperti yang didakwa oleh Goh, tetapi adalah kerana ia telah dirancang terlebih dahulu, kata beliau.
PTP mempunyai pandangan awal untuk menggabungkan peruntukan kemudahan untuk mempromosikan sistem pengangkutan yang efisien dengan dunia perniagaan yang memerlukan kepantasan dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Langkah ini dilaksanakan dengan mengambil kira kemunculan globalisasi dan sistem pengurusan rangkaian pembekalan menyepadukan akses dalam proses pengeluaran dengan sumber penggunaan seluruh dunia, memperkukuhkan keperluan untuk pusat pengangkutan yang efisien dalam rantau ini, tambah beliau.
Terdorong daripada strategi agresif PTP, jurucakap daripada pengilang makanan JB Cocoa berkata pelabuhan ini merupakan nadi kepada para pengeksport bagi kedua-dua buah negara.
Dengan kos dan lokasi strategik PTP, amatlah wajar bagi pelaburan untuk membina kilang di PTP ini agar menjadi lebih kompetitif dalam perniagaan eksport, menurutnya lagi.
Sementara itu, pengeksport kraftangan yang berpangkalan di Johor berkata bahawa Goh sebenarnya tepat dalam menyalahkan PTP bukan kerana mengambil alih perniagaan daripada PSA, tetapi melihatnya menerusi wawasan yang jauh. Kemungkinan juga PSA akan bertindak cemerlang bagi mempelajari semula maksud dan pengertian persaingan daripada PTP berbanding tindakan Goh terus membuat sebarang tuduhan yang tidak berasas.
Walau bagaimanapun, beliau mendesak Kerajaan Malaysia agar mengikuti jejak langkah Singapura dan menyediakan sokongan kewangan dan insentif-insentif untuk membolehkan PTP berfungsi dengan lebih cemerlang lagi.
PTP sebenarnya lebih daripada sekadar pelabuhan yang diswastakan. Ia merupakan aset strategik nasional, dan pihak kerajaan sepatutnya melakukan lebih lagi daripada hanya sekadar menanggung kos bagi kerja-kerja pengorekan.
Mereka sepatutnya menawarkan secara terus insentif-insentif cukai, dan pelbagai faedah kepada kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan. Ini seterusnya akan merangsangkan lagi peranan PTP selaku peneraju utama yang akan mengubah Johor kepada suatu pusat integrasi pengangkutan canggih, menurut beliau lagi.
Beliau yang enggan mahu dikenali menjelaskan, pihak PTP berjaya menunjukkan kecekapannya dan berapa banyak syarikat-syarikat swasta yang dapat mencapai ke tahap ini, hanya dalam masa yang singkat.
Salah seorang daripada pengeksport pakaian menyokong kenyataan ini dengan berkata PSA pada asasnya merupakan pelabuhan yang dikendalikan oleh pihak kerajaan dan mempunyai akses sumber-sumber kewangan yang banyak.
Apa yang membezakannya adalah pihak PTP merupakan pelabuhan yang diuruskan secara swasta, tetapi di sebalik rekod cemerlangnya sahaja ia tidak boleh menandingi Singapura.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ling Liong Sik sepatutnya terbabit dalam percaturan ini, terutamanya dengan mengambil kira kenyataan agresif kerajaan Singapura terhadap PTP. Setelah ia dilaksanakan, idea bagi membentuk suatu pusat integrasi pengangkutan merupakan satu langkah terdekat yang akan menjadi realiti, katanya lagi.
PTP telah mengambil 15 peratus daripada perniagaan kargo kontena PSA dan ia merupakan suatu yang baik bagi Goh untuk memahaminya bahawa pihak Singapura perlu bersaing bagi membentuk strategi-strategi baru.
Rakyat Malaysia kini kelihatan bertindak secara teratur dan terus memberikan PSA saingan yang hebat, kata seorang penganalisa pengangkutan yang berpengkalan di Singapura yang enggan dikenali.