15 Dec 2014

PTP Sasar Jadi Terminal Kontena Utama Negara

Sinar Harian

SENAI – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menyasarkan untuk mengendalikan 9 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) pada tahun hadapan.

Sasaran berkenaan dibuat selepas pelabuhan berkenaan menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila menjadi terminal pertama di negara ini mengendalikan 8 juta TEU menjelang akhir tahun ini.

Kejayaan yang dibuat pada awal bulan ini membolehkan pelabuhan berkenaan turut optimis untuk mengendalikan 8.6 juta TEU menjelang akhir tahun ini.

Mengulas tentang pencapaian berkenaan, Ketua Pengawai Eksekutifnya, Glen Hilton berkata, pencapaian terbaru ini menggariskan keupayaan pihaknya sebagai terminal kontena utama di Malaysia.

"Kita yakin dengan pertumbuhan yang kukuh daripada pelanggan PTP sedia ada dan juga isi padu daripada pelanggan baru akhirnya akan meningkatkan jumlah kontena kami dalam tiga hingga lima tahun akan datang.

"Ini membolehkan perlabuhan terus menjadi pemangkin untuk faedah ekonomi dan sosial untuk negeri Johor dan wilayah Iskandar Malaysia"katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Glen berkata, pihaknya pasti tidak dapat melakukan semua ini tanpa komitmen dan dedikasi semua kakitangan yang menyediakan perkhidmatan pelanggan kami dengan cepat dan cekap selama ini.

"Kami juga berterima kasih kepada kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, pelanggan dan semua pihak yang berkepentingan atas sokongan berterusan mereka terhadap kita," katanya.

Beliau berkata,PTP telah menyaksikan pertumbuhan yang stabil sejak pelabuhan itu mula beroperasi lima belas tahun yang lalu.

Katanya, PTP telah berkembang pesat dari hanya 400,000 TEU yang dikendalikan pada tahun 2000. Kita yakin dapat berkembang dan terus mencatatkan pertumbuhan kukuh selama ini.

"Dengan siapnya dermaga 13 dan 14 pada suku kedua tahun ini dan lengkap dengan peralatan canggih telah mempertingkatkan kapasiti PTP kepada 12.5 juta TEU setahun.

"Kami menjangkakan pasaran kontena berkembang terutamanya di bahagian belakang akses perkapalan global dengan itu menggunakan kapasiti pelabuhan kami,"katanya.