12 Jan 2008

PTP sedia tampung perdagangan kontena global

Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd., pengendali Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat daya Johor, bersedia untuk mengembangkan kemudahan sedia adanya bagi menampung pertumbuhan perdagangan kontena global dalam lima tahun akan datang, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Harun Johari.

“Selanjutnya, perdagangan kontena global dijangka berkembang pada purata lapan hingga 10 peratus setahun bagi lima tahun akan datang.

‘‘Permintaan bagi kapasiti pelabuhan itu untuk mengendalikan pertumbuhan ini akan ketara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara pelabuhan lain di seluruh dunia diunjurkan akan menghadapi cabaran dari segi sekatan kapasiti, katanya, PTP tidak akan berada dalam kedudukan serupa.

“Oleh itu adalah penting bagi pelabuhan melabur dalam kapasiti secara tepat untuk memastikan mereka tidak menjadi sempit dalam rantaian bekalan.

“Dengan adanya ruang yang banyak bagi pengembangan, PTP bersedia untuk menampung keperluan pelanggan sedia ada dan yang baru,” kata Harun.

Untuk menampung permintaan yang berkembang, katanya, PTP menerima empat kren pelabuhan baru dan lapan kren gantri bertayar getah lapan (RTG) tahun lalu dan membuat tempahan bagi tambahan kelengkapan baru untuk menambah kumpulan kren jeti barunya sedia ada.

Kelengkapan tambahan itu akan dihantar beransur-ansur dari bulan ini dengan penghantaran terakhir dijangka pada Oktober tahun ini, katanya.

Harun berkata, pelabuhan itu juga sedang bekerjasama dengan kerajaan untuk mendalamkan lagi saluran masuk itu.

Dalam tempoh lapan tahun, pelabuhan itu telah mengubah dirinya menjadi hab pemindahan kapal utama dan muncul sebagai terminal kontena terbesar negara dan antara satu daripada 20 pelabuhan paling sibuk di dunia.

Pada 2007, PTP mengendalikan 5.5 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) yang merupakan pertumbuhan 14.5 peratus sepanjang 2006.

Mengenai Zon Bebas Pelepas, Harun berkata, setakat ini kira-kira RM3 bilion pelaburan langsung asing telah dilabur dalam zon itu.

Untuk memenuhi minat pelabur yang kian berkembang terhadap zon bebasnya, pelabuhan itu juga dengan aktif membangunkan tanah tambahan untuk menampung permintaan, katanya.

Pada masa ini, lebih daripada 50 jenama global mengendalikan pelbagai rangkaian perniagaan di kawasan itu.

Pelabuhan itu bersedia untuk menjadi pelabuhan pintu masuk kukuh di selatan disebabkan lokas