29 Jan 2000

Sasaran jadikan PTP antara ke-10 terbaik

Bernama Online

Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) akan memastikan proses pembangunan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menepati sasaran kerajaan menjadikannya pelabuhan ke-10 teratas dunia pada 2003.

Pengurus Besar LPJ, Abdul Halim Abdul Karim berkata, LPJ akan terus memantau kemajuan dan pencapaian PTP supaya matlamat menjadikan ia sebagai pelabuhan mega sekali gus berfungsi sebagai hub perantara serantau dicapai dalam tempoh tiga tahun.

“PTP sudah berkerja keras melakukan yang terbaik untuk mengejar matlamat itu. Ini terbukti dalam tempoh tidak sampai setahun operasi, ia sudah mampu mengendalikan lebih setengah juta kontena, sekali gus berjaya mencipta rekod dunia.

“Pembangunaan PTP yang memasuki fasa kedua April ini dijangka menyaksikan pengendalian kontena yang lebih banyak.

“Begitu juga kemasukan Maersk Sealand turut memberi rangsangan kepada syarikat terkemuka dunia untuk beroperasi di PTP, sekali gus memanfaat sepenuhnya prasarana yang disediakan,” katanya dalam satu temubual dengan Berita Minggu.

Sambil menyatakan rasa yakin PTP mampu menyamai atau mungkin mendahului Pelabuhan Singapura dalam tempoh tertentu, Abdul Halim berkata, dalam banyak hal, pelabuhan negara ini sudah sama atau mungkin tidak jauh berbeza dengan pelabuhan republik terbabit.

Namun, katanya ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki, terutama kepantasan dan keberkesanan perkhidmatan menggunakan kaedah elektronik.

Mengenai penjualan 30 peratus ekuiti PTP kepada Maersk Sealand yang sekali gus membawa kepada keputusan syarikat pengendali kontena terbesar memindahkan operasi ke PTP, beliau berkata: “Kita tidak boleh berpuas hati dengan kemasukan Maersk itu.

“Kita perlu pastikan sistem kita hebat sekali gus dapat kendalikan secara berkesan kapal masuk ke sini.

“Kalau di Singapura sistem mereka cukup cekap dan cepat. Sebab itu,kita cuba atasi masalah birokrasi dalam agensi kerajaan yang terbabit. Jadi, kita perlu ketepikan karenah birokrasi yang banyak,” katanya.

Abdul Halim turut menafikan tanggapan negatif sesetengah pihak keputusan menjual ekuiti PTP bercanggah dasar kerajaan berhubung pemilikan asing dalam projek strategic di negara ini.

“Saya tidak melihat penjualan ekuiti PTP kepada pihak asing sebagai isu yang perlu diperbesarkan. Jangan pandang serong keputusan itu. Kita perlu faham PTP adalah pelabuhan kontena,” katanya.

Menurutnya, dari segi saiz, PTP dibina untuk jadi hub perantara kontena yang peranannya berbeza dengan Pelabuhan Klang sebagai pusat perantara kebangsaan dengan semua kargo disalurkan ke pelabuhan berkenaan.

“Skala PTP juga lebih besar. Fasa pertama PTP saja lebih dua kilometer. Ia adalah hub perantara serantau sama seperti apa yang dibuat oleh Singapura.

“Justeru, penjualan ekuiti itu adalah satu realiti perniagaan. Apatah lagi 10 hingga 20 peratus kargo Malaysia sendiri ‘bocor’ ke Singapura menerusi jalan darat. Kita harap dengan adanya PTP, tiada lagi ‘kebocoran’ berlaku,” katanya.

Beliau berkata, penjualan ekuiti PTP itu juga adalah inisiatif membentuk hubungan perniagaan strategik dalam usaha menjadi pelabuhan mega.

“Bukan saja kita berbuat demikian, malah pelabuhan lain sudah mengambil langkah serupa. PSA Corporation, syarikat yang mengendalikan pelabuhan Singapura juga bertindak sedemikian.

“PSA Corp kini sudah mempunyai kepentingan di sembilan buah pelabuhan di seluruh dunia. Begitu juga Hutchinson yang mengendalikan pelabuhan di Hong Kong sudah mempunyai kepentingan di 19 pelabuhan lain,” katanya.