09 Sep 1999

Tanjung Kupang alami perubahan mendadak

Berita Harian

JOHOR BAHRU: Mukim Tanjung Kupang, di Gelang Patah suatu ketika dulu menjadi tempat yang digeruni selepas kemalangan udara yang mengorbankan semua penumpang.

Tetapi selepas hampir 30 tahun berlalu, kawasan yang suatu ketika dulu dikatakan tempat persembunyian lanun dari Sulawesi, kini menjadi tumpuan konglomerat dan syarikat besar.

Kawasan yang suatu ketika dulu yang tidak begitu dikenali, terus mengalami perubahan drastik, apabila pelabagai projek pembangunan besar dilaksana di kawasan berhampiran.

Projek pembinaan Laluan Kedua, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) serta perancangan mewujudkan bandar baru di kawasan terbabit mengubah keseluruhan wajah tempat itu.

Pembangunan PTP, terutamanya, menjadikan harga tanah di kawasan terbabit meningkat menjadi seperti 'lombong emas'.

Pembangunan PTP turut membuka luas peluang perniagaan kepada penduduk sekitar, mahupun penduduk dari luar yang mahu mengambil bahagian dalam pembangunan kawasan terbabit.

Beberapa penduduk yang ditemui berkata, perubahan itu boleh dirasakan sekarang apabila kegiatan tradisional seperti menangkap ikan dan bertani kini bertukar menjadi kegiatan komersil.

Mereka berkata Tanjung Pelepas yang suatu ketika dulu menjadi tempat tumpuan lanun, kini memiliki kelebihan sebagai sebuah kawasan perairan dalam semula jadi yang terlindung dari ancaman angin kencang, menjadi destinasi selamat untuk kapal berlabuh.

Sambil menyatakan rasa gembira denagn pembangunan PTP, itu mereka berpendapat keputusan membina sebuah pelabuhan di kawasan berkenaan adalah satu keputusan wajar dan bijak.

"Sejak 200 tahun lalu kami menjalani kehidupan yang sama seperti nenek moyang tanpa sebarang pembangunan dilaksanakan." kata salah seorang penduduk yang turut melahirkan keyakinannya bahawa pelabuhan baru itu berupaya mewujudkan alf baru dan perubahan kepada kehidupan masyarakat setempat.

Seorang penduduk yang berniaga gerai makanan, Naina Mohamad, berkata dia mengambil peluang hasil pembangunan di kawasan terbabit dengan berniaga kari kepala ikan di tepi jalan.

Katanya, dia memulakan perniagaannya sejak Laluan Kedua mula dibuka lagi.

"Kini saya memperolehi peluang lain dengan mengambil tender membersih dan membuang sampah sarap, plastik dan lain-lain lagi di kawasan tapak pembangunan, pejabat dan penempatan pekerja," katanya.

Oleh itu, katanya, perniagaan kari kepala ikan diteruskan oleh isterinya, Halimah Mahmud.

Menurutnya lagi, dia bercadang untuk meluaskan perniagaannyakerana yakin peluang untuk membesarkan kegiatan kerana ia akan lebih terbuka luas selepas PTP mula beroperasi.

Katanya, dia akan menggunakan pampasan yang diterima sebanyak RM548,000 dari penyerahan tanah seluas 0.8 hektar miliknya di Kampung Tanjung Pelepas akan dijadikan modal untuk memperbesarkan perniagaan.

Selain bergerak aktif dalam bidang perniagaan, Naina juga sudah membeli sebuah rumah dua tingkat di Taman Skudai yang sebelum ini katanya tidak mampu untuk dimiliki.

"Dalam masa sesingkat ini, saya ingin mendalami bidang perniagaan. Bagi tujuan itu, saya akan berusaha untuk mendapat bimbingan daripada profesional," katanya.

"Sememangnya bidang perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah diuruskan. Kita sendiri dapat melihat betapa payahnya orang Bangladesh dan Indonesia mencari rezeki. Ia sepatutnya mengajar rakyat negara ini untuk lebih berusaha supaya suatu hari nanti kejayaan dan kesenangan boleh dikecapi.

"Terpulang kepada kita bagaimana menyediakan kemudahan terbaikdan berkesan untuk menjayakan perniagaan ini,"katanya.

Bagi seorang penangkap udang, Adam Dauh, berkata dia terpaksa menjual bot miliknya selepas tidak mampu menampung kehidupan keluarga dengan hanya menjadi nelayan.

Selepas berhenti menjadi nelayan, dia mengambil keputusan menjadi pemandu traktor di Poresia Golf.

Bagaimanapun, nasibnya berubah apabila tanah miliknya seluas 0.8 hektar yang ditanami kopi, dan tanaman tropika diambil bagi tujuan pembangunan PTP.

Beliau menyifatkan masa depan yang lebih baik sudah ada di depan mata kerana dengan wang yang diperolehi itu dia akan menyertai bidang komersil yang mampu membawa perubahan kepada kehidupannya.

Selain pelabuhan, PTP juga sudah membangunkan bandar baru dengan peringkat awal pembinaan 403 unit rumah kos rendah, teres setingkat dan teres dua tingkat sudah pun ditawarkan kepada penduduk kampung di Taman Paya Mengkuang.

Selain Kampung Tanjung Pelepas yang sudah pun diambil untuk projek pembangunan, ada lapan perkampungan tradisional Melayu yang didiami kira-kira 500 keluarga di kawasan berkenaan.

Tanah kampung terbabit juga dijangka diambil semula untuk projek pembangunan bandar baru pelabuhan dalam tempoh antara 10 hingga 15 tahun lagi.