06 Sep 2001

Tanjung Pelepas mampu saingi Pelabuhan Singapura

Berita Harian

Kerajaan Johor yakin Pelabuhan Tanjung Pelepas mampu menjadi saingan utama kepada Pelabuhan Singapura dan tidak lagi dianggap sebagai pelabuhan sokongan.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata ini dibuktikan apabila prestasi Pelabuhan Singapura merosot sebanyak 15 peratus tahun lalu berikutan pembukaan Pelabuhan Tanjung Pelepas.
 
Katanya, antara kejayaan yang dicapai oleh pelabuhan itu ialah ia berjaya menyaingi Pelabuhan Singapura dari segi lokasi yang stragegik dan dilengkapkan dengan kemudahan infrastruktur yang lebih baik.
 
“Kebanyakan kapal yang membawa muatan kontena yang besar di sekitar rantau ini seperti Tanjung Periuk, Jakarta dan Hanoi menggunakan Pelabuhan Tanjung Pelepas disebabkan kemudahannya.
 
“Pelabuhan Tanjung Pelepas juga bukan saja menjadi saingan kepada Singapura tetapi juga Pelabuhan lain di sekitar rantau Asia kerana ia mempunyai keupayaan untuk diperbesarkan pada masa depan mengikut keperluan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam dan pelancaran Gabungan Profesional Melayu Muda Johor (GPMMJ) di Hotel Mutiara di sini, semalam.
 
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penaja GPMMJ, Eswadi Abd Rahim dan ahli jawatankuasa GPMMJ. Seramai 400 orang menghadiri majlis pelancaran dan jamuan makan malam itu.
 
Abdul Ghani berkata, dengan pertambahan bilangan kapal besar yang berlabuh di Pelabuhan Tanjung Pelepas, kerajaan negeri bercadang menambahkan sebanyak enam lagi dermaga, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 12 dermaga di pelabuhan itu.
 
“Pada masa ini, Cuma ada enam dermaga, jadi untuk meningkatkan perkhidmatan kepada kapal yang singgah di pelabuhan itu pada masa depan, kita mungkin akan menambah enam lagi dermaga.
 
“Selain itu, kita juga akan memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah cekap dan kompetitif bagi menarik minat kapal asing yang sebelum in berlabuh di Pelabuhan Singapura supaya datang ke Pelabuhan Tanjung Pelepas,” katanya.
 
Sementara itu, beliau turut menyeru professional yang berasal dari Johor supaya membantu mencurahkan idea serta mengimplementasikan kepakaran yang mereka kuasai untuk sama-sama membangunkan negeri itu.
 
Katanya, tenaga professional muda adalah asset penting kepada pembangunan dan oleh itu, kerajaan negeri mengambil inisiatif memastikan usaha mengumpul professional muda diadakan secara agresif.
 
“Setakat ini, ada senumlah 400 orang professional Melayu muda Johor yang berkerja di Kuala Lumpur. Bagaimanapun, kami berharap dapat mengumpul lebih 1,000 orang seperti doctor, jurutera, arkitek, Pegawai kerajaan dan yakin mereka dapat membantu kerajaan dalam semua aspek pembangunan,” katanya.